Loew berjanji kawal tingkah laku

Loew berjanji kawal tingkah laku

UEFA-Euro-2016-Logo

PARIS, 16 Jun (AFP) – Pengendali Jerman Joachim Loew berjanji untuk menjaga tingkah lakunya selepas ditangkap televisyen menyeluk tangan ke dalam seluarnya ketika juara dunia itu mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan Euro 2016 menentang Ukraine.

Loew dijadikan sasaran ejekan meluas di media sosial selepas menyeluk tangan ke dalam seluarnya ketika kemenangan 2-0 di Lille, dengan insiden berkenaan digelar sebagai ‘trouser gate’ oleh media Jerman.

“Saya melihat imej itu keesokannya. Saya meminta maaf, sudah pasti anda melakukan sesuatu di luar jangkaan ketika anda berada dalam keadaan tertekan,” kata jurulatih yang pernah memenangi Piala Dunia itu.

Namun, apa yang lebih membimbangkan Loew ketika ini adalah bagaimana untuk menyekat kemaraan penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski dan skuad Poland dalam pertembungan yang bakal menentukan juara Kumpulan C di Paris, Jumaat ini.

Poland menewaskan Jerman untuk kali pertama dalam sejarah ketika kempen kelayakan dan meraih kemenangan pertama dalam Kejohanan Eropah apabila menundukkan Ireland Utara 1-0 Ahad lalu.

ARTIKEL YANG SAMA