Loew cantas Kruse

Loew cantas Kruse

BERLIN, 22 Mac – Penyerang Wolfsburg, Max Kruse digugurkan dari skuad Jerman bagi aksi persahabatan menentang England dan Itali susulan tingkah lakunya di luar padang.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew menggugurkan Kruse daripada senarai 27 pemainnya disebabkan beberapa insiden membabitkan penyerang itu yang disifatkan tidak profesional.

“Saya mahu pemain yang fokus dalam bola sepak apatah lagi kempen Euro 2016 sudah semakin hampir. Max berkelakuan tidak profesional sekali lagi dan saya tidak boleh menerimanya,” kata Loew.

Ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 hujung minggu lalu, Kruse terbabit dengan pertelingkahan bersama seorang wartawan di sebuah kelab malam di Berlin selepas pemain itu dikatakan kurang senang kerana menangkap gambarnya tanpa kebenaran.

Menurut laporan akhbar Jerman Bild, Wolfsburg mengenakan denda ke atas Kruse sebanyak 25,000 euro susulan insiden berkenaan, sehari selepas kelab Bundesliga itu turut mendendanya dengan jumlah sama kerana meninggalkan wang tunai 75,000 euro di tempat duduk belakang teksi.

Loew terpaksa mencantas Kruse gara-gara tingkah laku di luar padang. – Reuters
Loew terpaksa mencantas Kruse gara-gara tingkah laku di luar padang. – Reuters

Kruse dilaporkan terlupa wang tunai yang dibawanya ketika menaiki teksi pada waktu pagi menerusi Berlin, Oktober lalu.

Dengan penggantungan daripada aksi persahabatan bertemu England dan Itali pada 29 Mac ini, ia dilihat satu tamparan hebat buat Kruse bagi memastikan dia disenaraikan dalam skuad Jerman untuk pusingan akhir Euro 2016 di Perancis Jun depan.

“Kempen Euro pada musim panas ini semakin hampir dan kami ada sasaran yang tinggi untuk pasukan. Kami perlukan pemain yang fokus dan bertanggungjawab,” kata Loew. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA