Logo halal MUIB dan Brunei Halal berbeza

Logo halal MUIB dan Brunei Halal berbeza

Oleh Sim Y. H.

 

pg01_160311_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Logo pensijilan Halal keluaran Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan logo jenama Brunei Halal adalah berbeza daripada segi fungsi dan tujuan di mana logo pensijilan Halal khusus bagi memastikan produk-produk telah memenuhi hukum syarak manakala logo jenama Brunei Halal adalah sebagai jenama komersial atau tanda perdagangan (trademark).

Menjawab soalan yang diberikan notis oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar mengenai kekeliruan berhubung dengan logo pensijilan Halal dan jenama Brunei Halal, Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar, mengakui memang terdapat kekeliruan mengenai jenama atau logo-logo halal keluaran Negara Brunei Darussalam.

Beliau menjelaskan bahawa dua jenis logo yang dimaksubkan itu ialah logo Sijil Halal (purple logo) dan logo jenama Brunei Halal (green logo).

“Adapun kedua-dua logo ini memainkan peranan yang berlainan seperti berikut, bagi logo pensijilan Halal (purple logo), ianya merupakan tanda persijilan. Logo ini adalah di bawah bidang kuasa Majlis Ugama Islam Brunei dan dikeluarkan bagi menandakan mana-mana produk yang telah diperiksa atau diaudit secara terprinci oleh pegawai-pegawai agama dan teknikal serta didapati telah memenuhi hukum syarak.”

Manakala itu, jelas Yang Berhormat Pehin, logo jenama Brunei Halal (green Logo), merupakan logo komersial bagi maksud perdagangan, sama seperti Nestle, Cadbury, Campbell dan sebagainya yang dipunyai oleh Syarikat Wafirah Holdings Sdn Bhd., sebuah syarikat milik kerajaan.

“Untuk mendapatkan logo ini, mana-mana syarikat tempatan dan luar negara akan perlu bekerjasama dengan Syarikat Ghanim International Corporation Sdn Bhd, sebuah anak Syarikat Wafirah Holdings, bagi produk-produk yang dipersetujui untuk dikeluarkan di bawah jenama Brunei Halal.

“Produk-produk di bawah jenama ini akan menjalankan pengauditan terperinci bukan sahaja daripada kehalalan produk bahkan juga kilang syarikat pengeluar dimestikan untuk mempunyai pensijilan ISO, pensijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan juga mengamalkan Good Manufacturing Practice (GMP).”

Yang Berhormat Pehin berkata lagi, dengan memenuhi kriteria-kriteria berkenaan, produk-produk syarikat akan diaudit bagi mendapatkan persijilan halal daripada MUIB dan kedua-dua logo itu mesti ada dalam setiap pembungkusan produk (product packaging) bagi setiap produk yang memegang nama Brunei Halal.

“Kekeliruan di antara jenama Brunei Halal dan logo Sijil Halal Brunei yang dimiliki oleh MUIB ini sememangnya akan ditangani bersama-sama dengan agensi-agensi yang tertentu dan langkah-langkah juga akan dikenalpasti bagi mengadakan satu pensijilan halal sahaja dan baginya dibezakan daripada jenama, Brunei Halal.

“Bagi maksud ini, akan diteliti dengan lebih lanjut lagi bersama dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Majlis Ugama Islam Brunei.”

Yang Berhormat Pehin juga amat menghargai cadangan yang dikemukakan dan berharap akan ada penyejajaran dalam menetapkan hanya satu pensijilan halal untuk digunakan.