Loji janakuasa biogas daripada sisa makanan bakal dibangun

Loji janakuasa biogas daripada sisa makanan bakal dibangun

JOHOR BAHARU, 11 Okt – Sebuah loji janakuasa biogas bagi penghasilan elektrik daripada sisa buangan makanan bakal dibangunkan selaras dengan usaha mengurangkan pelepasan karbon di negeri ini.

Projek itu akan dibangunkan bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ronser Bio-Tech Bhd, Gait Rungkai Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

UTM, menerusi satu kenyataan bersama berkata projek itu bertujuan untuk mengurus sisa buangan terutamanya menggunakan sisa makanan sekali gus menjadikannya sumber tenaga yang diperbaharui.

Tenaga elektrik yang dijana kemudiannya akan digunakan di universiti berkenaan sekaligus dapat mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan penggunaan elektrik daripada bahan bakar fosil.

“Loji janakuasa biogas yang bakal dibina di UTM dijangka dapat merawat kira-kira lima tan sisa-sisa makanan sehari dan dijangka dapat menghasilkan kuasa elektrik sebanyak 0.2 hingga 0.5 megawatt,” kata universiti itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA