Loji rawatan beroperasi semula

Loji rawatan beroperasi semula

KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) – Loji Rawatan Air Kampung Kimolihing yang dihentikan sementara operasinya berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang melanda Ranau Isnin lalu, telah beroperasi semula malam tadi.

Jurutera Jabatan Air Ranau, Anthony Jullah berkata ketika ini dianggarkan 50 sehingga 60 peratus bekalan air telah pulih di sekitar kawasan pekan Ranau.

Pada masa ini bekalan air sedang disalurkan secara berperingkat dan dijangka pulih tengah hari ini di seluruh kawasan pekan Ranau dan kawasan berhampiran, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anthony berkata, penduduk di kawasan luar pekan Ranau masih belum menerima bekalan air paip ekoran Loji Rawatan Air Kampung Bambangan belum beroperasi kerana masih dalam proses baik pulih.