Loji solar terbesar Australia mula hasilkan tenaga

Loji solar terbesar Australia mula hasilkan tenaga

SYDNEY, 20 Jan – Dua loji solar terbesar Australia telah mula membekalkan kuasa kepada grid elektrik kebangsaan, menurut kerajaan hari ini, menggelarnya satu titik perubahan bagi solar besar di negara itu.

Lebih dua juta panel solar akan menghasilkan kira-kira 360,000 MWh tenaga diperbaharui setiap tahun, cukup untuk mempertenagai lebih 50,000 buah rumah, menurut Agensi Tenaga Diperbaharui Australia (ARENA).

Loji fotovolta solar dibina oleh syarikat gergasi tenaga AGL dan pembangun solar First Solar di New South Wales.

ARENA menyediakan A$166.7 juta (AS$114 juta), dan kerajaan New South Wales menyediakan A$64.9 juta bagi pembinaan dua loji berkenaan.

Loji itu adalah yang terbesar dan loji solar kedua terbesar di Australia. Digabungkan, luasnya sekitar 390 hektar tanah.

“Pada masa hadapan, pencapaian bersejarah ini akan menandakan saat solar besar ini akan mula menjadi penyumbang besar kepada bekalan tenaga Australia,” pemangku ketua eksekutif ARENA, Ian Kay berkata semasa perasmiannya.

“Akhirnya, momentum ini akan membolehkan kami untuk mengambil kesempatan daripada sumber solar utama Australia di dunia dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga diperbaharui bagi keperluan elektrik kami.”

Loji itu akan mengurangkan emisi gas rumah hijau yang dianggarkan 300,000 tan karbon dioksida setahun, yang bersamaan dengan 82,000 buah kenderaan di jalan raya, kata AGL.

Meskipun sangat bergantung berat ke atas tenaga arang, Australia bulan lalu menandatangani komitmennya untuk mengurangkan emisi karbon dan mengehadkan pertambahan suhu kepada 2 darjah Celsius semasa mesyuarat COP21 PBB di Paris. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA