Longgar syarat visa bagi rangsang hasil pelancongan

Longgar syarat visa bagi rangsang hasil pelancongan

BEIJING, 14 Jan (Bernama) – Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong berkata Malaysia perlu mempermudah proses visa untuk pelancong khususnya dari China bagi memastikan mereka ‘setia’ mengunjungi negara itu.

Katanya langkah itu amat penting sementelah Malaysia memerlukan lebih banyak pendapatan daripada sektor pelancongan bagi merangsang ekonominya.

Jabatan Imigresen perlu lebih telus dan ikhlas dalam melonggarkan syarat-syarat visa dan program permohonan visa elektronik (e-visa) yang diperkenalkan hanya menyusahkan dan mengelirukan pelancong dari China, katanya di sini.

Perkhidmatan e-visa yang dikuatkuasakan bermula 2 Januari lalu membolehkan pelawat dari tujuh negara iaitu China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada memohon visa pelancong menerusi dalam talian. Langkah itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia terutama dari China dan India.

Bagaimanapun selepas pelaksanaannya, terdapat rungutan bahawa prosesnya lebih sukar dan renyah berbanding kaedah biasa.

Selain itu Bernama juga difahamkan e-visa meningkatkan kos pemohon kerana mereka perlu menghantar pasport mereka ke pusat visa di China dan membayar 50 yuan untuk penghantaran balik pasport kepada mereka selain 10 yuan untuk perkhidmatan ekspres.

Caj visa kekal 80 yuan dan kos pemprosesan 120 yuan.

Pusat pemprosesan visa di China, SPPV One Stop Centre, dioperasikan secara bersama oleh Ultra Kirana Sdn Bhd dan Beijing Lingxiang International Entry serta Exit Service Co Ltd.

Sebelum e-visa, kerajaan Malaysia juga mengumumkan pemansuhan visa untuk rakyat China yang melancong secara berkumpulan yang sepatutnya bermula 1 Disember tahun lepas, namun sehingga kini belum dilaksanakan secara rasmi.

Wee yang mahu pihak berkuasa berkaitan menyelesaikan isu visa itu, berkata Tourism Malaysia menyasarkan untuk menarik dua juta pelancong China ke Malaysia tahun ini. China merupakan pasaran yang besar dengan 109 juta rakyat negara itu melancong ke luar negara pada 2014, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA