Lonjak kualiti pendidikan

Lonjak kualiti pendidikan

PUTRAJAYA, 26 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap projek rintis Program Komputer Riba untuk pelajar tingkatan lima di Sarawak bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat melonjakkan kualiti dan pencapaian pendidikan negeri itu.

Beliau berkata program rintis itu akan melibatkan 33,000 pelajar di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman Sarawak dengan proses penyerahan komputer riba itu dijangka selesai menjelang September ini.

“Semasa mengadakan tinjauan mesra saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, Sarawak pada April lalu, saya melahirkan hasrat supaya pro-ses pembelajaran di Sarawak ditingkatkan dengan memberi kemudahan seperti komputer riba untuk semua pelajar (tingkatan lima) di Sarawak.

“Dengan tertunainya janji ini, maka saya yakin dan percaya pencapaian pelajar di Sarawak akan lebih memberangsangkan pada masa akan datang.

“Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk terus membangunkan Sarawak terutama sekali dalam pembangunan modal insan akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada lima wakil pelajar di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Tan Sri Adenan Satem (tiga,kiri) bergambar bersama pelajar Tingkatan Lima dari Sarawak yang menerima komputer riba Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Tan Sri Adenan Satem (tiga,kiri) bergambar bersama pelajar Tingkatan Lima dari Sarawak yang menerima komputer riba Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Sementara itu, Kamalanathan berkata majlis penyampaian hari ini membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan setiap janji dikotakan serta dilaksanakan sebaik mungkin.

Beliau berharap program rintis membabitkan kos RM45 juta itu dapat membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dengan lebih berkesan khususnya dalam aspek peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Beliau berkata komputer riba itu akan diedarkan secara pinjaman kepada pelajar tingkatan lima dan kemudian akan dikumpulkan semula untuk dipinjamkan kepada para pelajar tingkatan lima pada tahun berikutnya.

“Dengan pemberian komputer riba kepada pelajar-pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang, kita berharap bahawa pelajar-pelajar di Sarawak dapat meningkatkan komitmen dan pencapaian akademik mereka dengan lebih baik lagi,” katanya.

Kamalanathan berkata kerajaan akan melihat keberkesanan program rintis pembekalan komputer riba itu sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. – Bernama