Lonjakan industri halal

Lonjakan industri halal

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Pelabur-pelabur dan syarikat-syarikat Jepun menunjukkan minat yang mendalam untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan Negara Brunei Darussalam terutama Industri Halal negara sebagai pusat untuk memasuki pasaran halal serantau dan global.

Negara Brunei Darussalam dan Jepun mempunyai hubungan persahabatan yang erat di mana Jepun amat kagum dengan Industri Halal negara ini yang mana persijilan Brunei Halal mempunyai keunikan dan kelebihan yang menjadikan ia sebagai pilihan bagi pelabur dan syarikat Jepun untuk melabur dalam Industri Halal Brunei.

Perkara itu dijelaskan oleh dua pakar dari Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) iaitu Penasihat Peribadi kepada Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Brunei, ERIA, Okouchi Hiroshi dan Pakar Industri Halal ERIA, Tetsuya Enomoto dalam temu bual bersama wartawan Media Permata di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Menurut Okouchi, mereka berada di Negara Brunei Darussalam bagi mengadakan lawatan kerja Industri Halal Negara Brunei Darussalam bagi pihak ERIA dan Organisasi Perdagangan Luar Jepun (JETRO) untuk mendapatkan maklumat mengenai Industri Halal Brunei iaitu dari segi persijilan dan penghasilan produk-produk halal di Brunei di mana hasil kajian dan lawatan itu akan dijadikan sebuah laporan yang akan disampaikan kepada pelbagai pihak yang berminat dan pelabur serta syarikat di Jepun untuk mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelaburan Industri Halal di ASEAN.

Okouchi berkata lagi bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah pelancong ke Jepun terus meningkat dan sebahagian besar daripada mereka adalah pelancong yang beragama Islam termasuk dari rantau Asia Tenggara dan juga dari Timur Tengah.

Okouchi (kiri) dan Tetsuya (kanan) berkata bahawa pelabur-pelabur Jepun amat berminat untuk melabur dalam Industri Halal Brunei  dan yakin Brunei mampu menjadi pusat Industri Halal serantau bagi menerokai pasaran global.
Okouchi (kiri) dan Tetsuya (kanan) berkata bahawa pelabur-pelabur Jepun amat berminat untuk melabur dalam Industri Halal Brunei dan yakin Brunei mampu menjadi pusat Industri Halal serantau bagi menerokai pasaran global.

Syarikat-syarikat Jepun kini sudah menyedari akan perlunya untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelancong-pelancong beragama Islam dan menyediakan pelbagai perkhidmatan serta makanan halal bagi pelanggan-pelanggan mereka.

Menurut Okouchi, banyak syarikat Jepun melihat Timur Tengah sebagai salah satu pilihan pelaburan bagi industri halal namun begitu mereka merasakan bahawa kawasan berkenaan mempunyai pelbagai risiko.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam yang berada di rantau Asia Tenggara yang merupakan sebuah negara Islam serta rakan hubungan dua hala yang baik bagi Jepun mempunyai pelbagai tarikan bagi pelabur dan syarikat Jepun untuk melabur ke dalam industri halal Brunei.

Semasa lawatan mereka selama tiga hari, jelas Okouchi lagi, mereka berpeluang untuk berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dengan industri halal serta melawat ke beberapa buah syarikat tempatan yang menghasilkan produk-produk di bawah Brunei Halal.

Hasil dapatan awal menerusi lawatan mereka itu, jelas Tetsuya, mereka amat kagum dengan perkembangan dan pelaksanaan industri Halal di Negara Brunei Darussalam yang berpotensi tinggi untuk dimajukan serta mampu menjadi pilihan bagi pelabur dan syarikat-syarikat Jepun untuk melabur serta bekerjasama dengan syarikat tempatan sebagai pusat bagi produk dan perkhidmatan halal Jepun di rantau ASEAN dan juga untuk menembusi pasaran global halal terutamanya pasaran Timur Tengah.

Mengulas mengenai kelebihan Industri Halal Brunei, Tetsuya berkata hasil dapatan awal menunjukkan bahawa Brunei mempunyai tiga faktor atau kelebihan jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain.

Kelebihan pertama, jelasnya, adalah keunikan persijilan Halal Brunei di mana ia adalah lebih ketat dan dilaksanakan pada setiap peringkat oleh pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu di semua peringkat pemeriksaan dilakukan oleh badan kerajaan.

Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan persijilan halal di negara ASEAN yang lain sebahagian daripada persijilan itu dilaksanakan oleh badan-badan swasta atau pihak kerajaan yang menggunakan perkhidmatan swasta.

Persijilan Brunei Halal yang sepenuhnya dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan kriteria yang lebih ketat, ulas Tetsuya setentunya akan memberikan keyakinan kepada pihak pelabur mengenai status persijilan halal dan proses pemeriksaan serta produk halal yang dihasilkan yang membawa jenama, Brunei Halal.

Kelebihan kedua bagi Tetsuya adalah, Brunei merupakan sebuah negara yang mengamalkan undang-undang Syariah serta merupakan sebuah negara Islam di mana ia dapat menarik pengunjung Islam untuk berkunjung ke Brunei.

Di samping itu, syarikat-syarikat menghasilkan produk halal seperti yang dilawati oleh mereka seperti Superwater Marketing Sdn Bhd, kesemua kakitangan syarikat berkenaan adalah pekerja tempatan yang berugama Islam dan itu bagi mereka setentunya akan menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur berpotensi.

Kelebihan ketiga yang diperoleh hasil lawatan mereka, ialah insentif pelaburan yang diberikan atau disediakan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam adalah antara yang terbaik jika dibandingkan dengan negara-negara lain serantau.

Tetsuya yakin bahawa insentif pelaburan yang diberikan itu dapat menarik pelabur dan syarikat Jepun untuk melabur di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA