Lontaran pasu bunga henti suami bunuh isteri

Lontaran pasu bunga henti suami bunuh isteri

ISTANBUL, 11 Mac (AFP) – Seorang lelaki Turki telah dihentikan daripada membunuh isterinya hari ini akibat balingan pasu bunga yang dilontarkan oleh jirannya dari balkoni mereka, lapor media tempatan.

Berang dengan isterinya yang memulakan prosiding penceraian, lelaki itu melepaskan tembakan dua kali ke arah isterinya di jalan di Gaziosmanpasa, sebuah daerah miskin di Istanbul, menurut agensi berita Dogan.

Jiran-jiran yang terkejut mendengar bunyi tembakan itu terus berkejar ke jendela mereka dan menimbulkan kekecohan sebelum melontar lelaki berkenaan dengan pasu bunga, yang menghentikannya daripada melepaskan tembakan terakhir yang membawa maut.

Wanita dan abangnya yang berada bersamanya mengalami kecederaan, namun nyawa mereka tidak dalam keadaan bahaya, menurut Dogan.

Suami wanita berkenaan berjaya melarikan diri dan kini telah menjadi buruan pihak polis.

Tidak diketahui sama ada dia mengalami sebarang kecederaan atau tidak.

Keganasan ke atas wanita semakin meningkat di Turki, dengan puratanya dua pembunuhan setiap hari.

ARTIKEL YANG SAMA