Lorenzo juara dunia kali ketiga

Lorenzo juara dunia kali ketiga

VALENCIA, 9 Nov (Reuters) – Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo merangkul gelaran dunia MotoGP ketiganya setelah menjuarai Grand Prix Valencia semalam.

Kemenangan itu membolehkan pelumba berusia 28 tahun itu menyekat hasrat rakan sepasukan dalam Yamaha, Valentino Rossi untuk bergelar juara dunia bagi kelas utama itu buat kali kelapan.

Rossi yang terpaksa memulakan aksinya di kedudukan tercorot berikutan dihukum selepas didapati bersalah menendang Marc Marquez pada Grand Prix Malaysia, dua minggu lalu sekadar berpuas hati menamatkan perlumbaan di tangga keempat.

Lorenzo menamatkan perlumbaan dengan catatan masa terpantas 45 minit 59.364 saat.

Malah, Lorenzo mendominasi saingan sejak awal perlumbaan dan meninggalkan dua penunggang Honda, Marquez serta Dani Pedrosa di kedudukan kedua dan ketiga.

Jorge Lorenzo (tengah) meraikan kejayaannya di atas podium bersama-sama Marc Marquez (kiri) dan Dani Pedrosa (kanan) selepas perlumbaan MotoGP Valencia di litar Ricardo Tormo di Cheste berhampiran Valencia, Sepanyol pada 8 November 2015. – Agensi
Jorge Lorenzo (tengah) meraikan kejayaannya di atas podium bersama-sama Marc Marquez (kiri) dan Dani Pedrosa (kanan) selepas perlumbaan MotoGP Valencia di litar Ricardo Tormo di Cheste berhampiran Valencia, Sepanyol pada 8 November 2015. – Agensi

Dengan kemenangan di Valencia, Lorenzo berjaya memintas Rossi yang berkelebihan tujuh mata di depan sebelum perlumbaan, untuk mengumpul 330 mata keseluruhan meninggalkan pelumba Itali tersebut di tempat kedua yang mengutip 325 mata.

“Hari ini (Ahad) merupakan hari paling gembira dalam hidup saya dan cukup beremosi. Saya menangis ketika melakukan pusingan penghormatan setelah mengenang kembali betapa sukarnya untuk saya merangkul gelaran ini.

“Kami sering berada di belakang, namun dalam tiga perlumbaan terakhir semuanya berjalan dengan sempurna. Tayar motosikal saya musnah sama sekali, sehingga memaksa saya menunggang jentera dengan berhati-hati pada pusingan terakhir bagi mengelak kemalangan berlaku.

“Sebenarnya saya tidak langsung menoleh ke papan tanda yang menunjukkan catatan masa serta jumlah pusingan yang saya lakukan sepanjang perlumbaan dan sebaik saya melihat bendera penamat perlumbaan dikibarkan, barulah saya mampu menarik nafas lega,” kata Lorenzo.

ARTIKEL YANG SAMA