Lorenzo juara GP Sepanyol

Lorenzo juara GP Sepanyol

JEREZ, 4 Mei (AFP) – Penunggang Yamaha, Jorge Lorenzo menampilkan tunggangan penuh bertenaga untuk menjuarai Grand Prix Sepanyol sekali gus hadiah istimewa awal buatnya yang menyambut hari jadi ke-28, esok.

Ia kemenangan pertama juara dunia dua kali itu sejak kali terakhir memenangi GP Jepun, tahun lalu yang menafikan kebangkitan penunggang Honda, Marc Marquez yang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.

Penunggang legenda Itali yang juga rakan sepasukan Lorenzo, Valentino Rossi melengkapkan kedudukan podium sambil mencipta rekod penunggang pertama menaiki podium buat kali ke-200.

Tempat ketiga di Jerez begitupun mengekalkan kedudukan Rossi selaku pendahulu keseluruhan MotoGP dengan mengumpul keseluruhan 82 mata selepas empat pusingan, kelebihan 15 mata di depan penunggang Ducati, Andrea Dovizioso dengan Lorenzo dan Marquez masing-masing ketinggalan 20 dan 26 mata.

Lorenzo yang mencatatkan kemenangan ke-34 dalam kelas perdana dan 55 dalam semua kategori berkata ia adalah minggu yang sempurna buatnya namun masih enggan membuat spekulasi apa makna kemenangan itu bagi keseluruhan perlumbaan musim ini.

Jorge Lorenzo (tengah) meraikan kejayaan menjuarai GP Sepanyol bersama Marc Marquez (kiri) yang mendapat tempat kedua dan Valentino Rossi di tempat ketiga semalam. – AFP
Jorge Lorenzo (tengah) meraikan kejayaan menjuarai GP Sepanyol bersama Marc Marquez (kiri) yang mendapat tempat kedua dan Valentino Rossi di tempat ketiga semalam. – AFP

“Kami akan menikmati masa ini,” kata penunggang kelahiran Sepanyol itu. Ia kemenangan yang meyakinkan dan saya merasa amat baik dengan jentera. Ia kemenangan yang lebih istimewa selepas terlalu lama saya menunggu.

“Hari ini saya menggunakan segala kelebihan menerusi kepantasan dan bakat saya,” katanya. Bagi penyandang juara dunia, Marquez, perlumbaan di Jerez kali ini salah satu perlumbaan paling sukar dalam kariernya.

“Ya jelas ia amat sukar, tidak terlalu sukar buat jari saya namun kerana saya merasa terlalu sakit di bahu kanan saya. Pada satu tahap, saya tidak dapat menggerakkan jari saya jadi ia adalah kedua paling penting di sini,” katanya.

Marquez sebelum perlumbaan berdepan kecederaan patah jari kiri. Mengulas kedudukan ketiganya di Jerez, Rossi yang memenangi dua daripada empat pusingan perlumbaan mengakui merasa selesa sepanjang minggu ini.

“Saya sentiasa mencuba dan mencuba untuk mengejar Marc namun kepantasan jentera saya tidak begitu hebat dan selepas itu tayar depan saya mula bermasalah.

“Apapun, ia adalah podium ke-200 saya, jadi ia tidak begitu buruk,” kata penunggang berusia 36 tahun itu.

ARTIKEL YANG SAMA