Lorenzo lakar masa terpantas

Lorenzo lakar masa terpantas

VALENCIA, 8 Nov (AFP) – Jorge Lorenzo bermula cemerlang dalam misi menewaskan rakan sepasukan di Yamaha, Valentino Rossi, sekali gus merebut kejuaraan MotoGP apabila melakar masa terpantas di Grand Prix Valencia semalam yang menjadi saingan terakhir musim ini.

Rossi yang mendahului Lorenzo dengan tujuh mata dalam saingan kejuaraan, akan bermula di petak belakang di Valencia selepas menjatuhkan juara bertahan Marc Marquez di Grand Prix Malaysia dua minggu lalu.

Juara dunia sebanyak sembilan kali itu merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan namun ditolak, Khamis lalu.

Lorenzo mencatat 1 minit 31.111 saat dengan Rossi hanya muncul pelumba kelima terpantas.

“Jentera berfungsi dengan sempurna dan saya merasa sangat yakin,” kata Lorenzo yang juga juara dunia sebanyak dua kali.

Keceriaan di wajah Jorge Lorenzo selepas sesi kelayakan MotoGP Valencia di litar Ricardo Tormo di Cheste berhampiran Valencia, Sepanyol. – Agensi
Keceriaan di wajah Jorge Lorenzo selepas sesi kelayakan MotoGP Valencia di litar Ricardo Tormo di Cheste berhampiran Valencia, Sepanyol. – Agensi

“Saya menunggang dengan baik namun secara jujurnya jentera banyak membantu untuk saya bagi mengekalkan kelajuan yang tinggi walaupun menggunakan tayar lama. Justeru, saya sangat gembira minggu ini.

Rossi pastinya memerlukan sesi latihan tambahan menjelang aksi kelayakan hari ini namun berkata dia berkemungkinan mengekalkan rutin biasa yang dilakukan menjelang perlumbaan.

“Saya agak gembira dengan dua sesi latihan awal kerana kelajuan saya tidak terlalu teruk dan saya agak kompetitif menggunakan tayar yang sudah digunakan, sesuatu yang sangat penting untuk perlumbaan,” katanya.

“Kami perlu memutuskan strategi kami sekarang kerana saya fikir sukar untuk tempoh 15 minit kelayakan seperti sesi latihan bebas, jadi saya fikir mampu meneruskan prosedur biasa.”

Presiden Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) Vito Ippolito, menggesa perlumbaan yang mencerminkan semangat kesukanan di Valencia berbanding yang berlaku di Malaysia dua minggu lalu.