Lorenzo tawan MotoGP Perancis

Lorenzo tawan MotoGP Perancis

LE MANS, 19 Mei – Juara dunia dua kali, Jorge Lorenzo memenangi perlumbaan MotoGP buat kali kedua berturut-turut dengan mengungguli Grand Prix Perancis, hari ini yang juga kemenangan kelimanya di Litar Le Mans Bugatti.

Penunggang kelahiran Sepanyol berusia 28 tahun itu mengetepikan saingan hebat rakan sepasukannya dari Yamaha, Valentino Rossi yang turut merangkul kejayaan podium kelima berturut-turut musim ini.

Sekalipun ia kemenangan kelimanya di Le Mans, kali terakhir Lorenzo menaiki podium di litar terkemuka itu adalah pada 2012.

Rakan senegara Rossi dari Itali, Andrea Dovizioso yang menunggang jentera Ducati melengkapkan kedudukan podium di Le Mans yang juga kemenangan podium keempat musim ini.

“Saya memperoleh permulaan yang amat baik dan selepas itu saya bersaing hebat dengan Andrea,” kata Lorenzo yang memenangi perlumbaan Grand Prix ke-56 sepanjang kerjayanya.

“Apabila saya melihat Valentino di kedudukan kedua, saya tahu dia sedang berlumba dengan amat pantas jadi saya terpaksa menjarakkan diri dengannya dan berjaya melakukannya. Kemenangan ini amat penting dalam kejuaraan ini,” katanya.

Juara Jorge Lorenzo (tengah), Valentino Rossi (kiri) tempat kedua dan Andrea Dovizioso selesai di tempat ketiga selepas MotoGP Perancis selesai kelmarin. - AFP
Juara Jorge Lorenzo (tengah), Valentino Rossi (kiri) tempat kedua dan Andrea Dovizioso selesai di tempat ketiga selepas MotoGP Perancis selesai kelmarin. – AFP

Begitupun, juara dunia sembilan kali Rossi masih mengungguli kedudukan keseluruhan selepas mengumpul 102 mata diikuti Lorenzo ketinggalan 15 mata dengan Dovizioso ketiga, 83 mata.

Penyandang juara yang juga juara dunia dua kali dari Honda, Marc Marquez yang memulakan perlumbaan di petak utama begitupun semakin menjarakkan diri selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Memulakan perlumbaan di petak ketujuh, Rossi jelas gembira apabila perancangan yang dilakukannya sebelum perlumbaan berhasil.

“Saya merasa baik dengan apa yang saya lakukan berhasil,” kata pelumba berusia 36 tahun itu.

“Masih banyak yang perlu dilakukan untuk mendapat kedudukan permulaan yang baik namun kami memiliki kepantasan yang menakjubkan hasil daripada perubahan yang dilakukan pada jentera ini.

“Namun, Jorge terlalu pantas buat saya. Apapun, ia masih keputusan yang baik untuk kejuaraan. Ia perlumbaan yang baik,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA