Lorenzo tekad pertahan kejuaraan

Lorenzo tekad pertahan kejuaraan

SEPANYOL, 22 April – Jaguh sukan MotoGP, Jorge Lorenzo menegaskan fokusnya masih kepada mempertahankan gelarannya meskipun mengambil keputusan meninggalkan Yamaha pada penghujung musim ini untuk menyertai Ducati.

Lorenzo ketinggalan 21 mata di belakang rakan senegaranya, Marc Marquez selepas tiga perlumbaan setakat ini dengan mereka bakal berlumba di tanah air mereka sendiri pada Grand Prix Sepanyol di Jerez, hujung minggu ini.

Namun, hubungan tidak baik antara Lorenzo dengan Valentino Rossi selepas kontroversi pada perlumbaan terakhir musim lalu dikatakan menjadi punca keputusan mengejut Lorenzo untuk meninggalkan Yamaha selepas tujuh musim bersama pengeluar daripada Jepun itu.

“Ini adalah keputusan penting dalam karier saya. Saya berpendapat saya perlukan perubahan dan cabaran baharu untuk saya mencari sasaran bagi memastikan cita-cita saya sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Kita tidak dapat menjangka apa bakal terjadi pada masa depan namun buat masa ini, saya hanya mahu menikmati baki 15 perlumbaan bersama Yamaha supaya saya dapat mengekalkan kejuaraan saya. Itu sasaran saya ketika ini.”

Walaupun akan meninggalkan pasukan Yamaha pada penghujung musim ini, Lorenzo tetap bertekad untuk mempertahankan kejuaraannya. – AP
Walaupun akan meninggalkan pasukan Yamaha pada penghujung musim ini, Lorenzo tetap bertekad untuk mempertahankan kejuaraannya. – AP

Menurut laporan di Sepanyol, Lorenzo menerima bayaran setinggi AS$28 juta untuk tempoh dua tahun bersama Ducati.

Marquez mampu mengambil kesempatan daripada tekanan yang sedang dihadapi Yamaha selepas memenangi perlumbaan berturut-turut di Argentina dan Austin untuk mendahului carta selepas musim lalu yang bermasalah.

“Kami gembira untuk ke Jerez dengan kelebihan kecil pada kedudukan pelumba kerana pesaing kami begitu hebat beraksi di sana,” kata pelumba berusia 23 tahun itu.

“Beraksi di laman dan hadapan penyokong sendiri memberikan saya motivasi tambahan.”

Sementara itu, Rossi mengakui meraih podium di Jerez akan meletakkan dirinya kembali bersaing untuk merebut kejuaraan musim ini.

“Saya gembira kerana kita bakal ke Eropah. Saya tidak bernasib baik pada perlumbaan di Texas.”

“Apapun, kami perlu berusaha untuk meraih podium Ahad ini.” – AFP