Lorenzo tekad tewaskan Rossi

Lorenzo tekad tewaskan Rossi

SAN MARINO, 10 Sept – Pendahulu kejuaraan MotoGP, Valentino Rossi dan rakan sepasukannya dari Yamaha, Jorge Lorenzo meneruskan permusuhan di litar yang digambarkan kedua-duanya sebagai bertuah, San Marino, hujung minggu ini. Kediaman legenda Itali, Rossi yang berjaya menaiki podium dalam kesemua perlumbaan setakat ini serta menjuarai Grand Prix British hanya terletak 20 minit daripada Litar Misano yang digambarkan “perlumbaan di laman sendiri”.

Rossi, 36 yang kini memiliki kelebihan 12 mata di depan Lorenzo pernah memenangi tiga perlumbaan di Misano pada 2008, 2009 dan tahun lalu.

Lorenzo yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Britain juga memiliki rekod cemerlang di Misano dengan tiga kejuaraan pada 2011, 2012 dan 2013. Mengakui tidak sabar untuk beraksi di Misano, Rossi berkata sedar jangkaan tinggi yang diletakkan kepadanya oleh ribuan penyokongnya.

“Kami kini tiba di Misano dan akan ada banyak tekanan kepada saya, terutama daripada peminat, rakan-rakan dan keluarga yang hadir, namun saya amat menggemari litar ini,” kata Rossi.

“Keadaan sentiasa hebat di Misano dan ia benar-benar perlumbaan di laman sendiri kerana litar ini hanya 10 kilometer daripada Tavullia.

Lorenzo (kiri) dan Rossi (kanan) bakal bertarung di litar San Marino hujung minggu ini.
Lorenzo (kiri) dan Rossi (kanan) bakal bertarung di litar San Marino hujung minggu ini.

“Tahun lalu saya mengharungi perlumbaan yang hebat, namun pada masa yang sama, Jorge juga amat pantas di sini, jadi ia akan menjadi satu lagi perlumbaan yang hebat.”

Lorenzo dalam pada itu percaya jentera Yamaha akan meneruskan penguasaan minggu ini.

“Silverstone tidak berlangsung seperti yang kami jangkakan kerana keadaan cuaca. Kami cuba yang termampu untuk kekal di podium namun malangnya kami tidak memiliki kepantasan untuk berada di depan dan menghadapi beberapa masalah di luar kawalan kami.

“Ia menghalang kami daripada terus berjuang sehingga penamat,” kata Lorenzo.

“Saya tahu Valentino akan merasa cukup selesa kerana ini adalah Grand Prix di laman sendiri namun pada perlumbaan sebelum ini, saya sentiasa pantas di sini dan memenangi beberapa perlumbaan, jadi kita lihat apa yang berlaku,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA