Lori pikap terjatuh dari jambatan, 4 mati

Lori pikap terjatuh dari jambatan, 4 mati

SAN DIEGO, 16 Okt – Seorang anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS) diberkas selepas lori pikap yang dipandunya menjunam dari jambatan San Diego, membunuh empat orang dan mencederakan sembilan orang lagi yang menghadiri satu festival di bawahnya, menurut pihak berkuasa.

Pihak berkuasa telah mengenal pasti pemandu sebagai Richard Anthony Sepolio, 25 tahun yang ditugaskan di pangkalan tentera laut di Pulau Coronado seberang teluk dari San Diego. Keterangan tentang tugas dan pangkatnya tidak diperolehi.

Sepolio berseorangan dalam lori itu tengah hari semalam apabila dia hilang kawalan lalu merempuh rel adang dan terjatuh 60 kaki ke atas gerai penjual di Chicano Park, menurut Pegawai Peronda Lebuh Raya California Jake Sanchez.

Dia telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaan yang dialaminya dan kemudian diberkas kerana disyaki memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan kematian dan kecederaan, menurut pegawai itu lagi. Tidak segera diketahui bila Sepolio akan didakwa.

“Sangat dahsyat. Terdapat mereka yang tidak bersalah di bawah yang sedang bergembira dan kini mereka telah tiada,” kata Sanchez.

Peronda Lebuh raya California mengenal pasti mereka yang terbunuh sebagai seorang lelaki berusia 62 tahun dan seorang wanita berusia 50 tahun dari Chandler, Arizon, seorang lelaki berusia 59 tahun dan seorang wanita berusia 49 tahun dari Hacienda Heights, timur pinggir kota Los Angeles. Pihak berkuasa tidak segera mendedahkan nama-nama mereka.

Lapan orang yang berada di bawah tercedera. Seorang mengalami trauma teruk dan tujuh orang lagi mengalami kecederaan ringan hinggalah sederhana, kata Lee Swanson, jurucakap Jabatan Bomba Penyelamat bandar itu.

Saksi-saksi berkata lori pikap GMC dengan nombor pendaftaran Texas terjatuh dan menghempap gerai penjual yang didirikan bagi La Raza Run, penunggangan motosikal yang berakhir dengan satu keraian di taman itu dan lazimnya menarik perhatian beribu-ribu peserta. Kemalangan itu berlaku tidak jauh dari pentas tempat sebuah kumpulan muzik rock sedang membuat persembahan.

“Saya melihat sebuah lori muncul dari lebuh raya. Ia bergerak laju dan terbang melepasi pentas dan mendarat di hadapan pentas di atas khemah, sebuah gerai yang telah didirikan,” Chase Dameron memberitahu The Sun Diego Union-Tribune.

Menurutnya empat orang dalam gerai itu dihempap lori tersebut. “Ia seperti sebuah filem. Ia seperti dalam pergerakan perlahan,” kata Dameron.

“Tempat ia mendarat, terdapat habuk dan serpihan dan serta-merta mencetuskan keadaan kelam kabut dan kepanikan. Orang ramai berlari dalam keadaan tidak tentu arah.” – AP