Louis Vuitton saman 3 individu China

Louis Vuitton saman 3 individu China

BEIJING, 11 Jan (Reuters) – Pengeluar jenama mewah Perancis, Louis Vuitton menuntut ganti rugi terhadap tiga individu yang menawarkan versi palsu pakaian, kasut dan beg tangan jenamanya di laman web beli-belah popular, Taobao.

Mahkamah Daerah dalam satu kenyataan di laman web rasminya, mengesahkan menerima saman yang difailkan Louis Vuitton, milik LVMH, kumpulan pengeluar barangan mewah, Isnin lalu.

Berdasarkan kenyataan mahkamah itu, syarikat terbabit menamakan tiga defendan, dua daripadanya menggunakan nama keluarga Liang dan seorang lagi Han.

Mahkamah mengarahkan ketiga-tiga defendan menghentikan tindakan melanggar cap dagangan dan mengarahkan mereka membayar ganti rugi berjumlah AS$37,900.

Ketiga-tiga defendan itu dikatakan menjual barangan di laman web beli belah atas talian, Taobao yang memiliki persamaan seperti eBay dan Amazon yang menghimpunkan pembeli dan penjual.

Taobao dimiliki oleh Kumpulan Alibaba Holding.

ARTIKEL YANG SAMA