Lovchev digantung empat tahun

Lovchev digantung empat tahun

MOSCOW, 18 Mei (AP) – Empat atlet angkat berat Russia, termasuk seorang pemegang rekod dunia digantung selepas didapati gagal ujian doping, semalam.

Persekutuan Angkat Berat Russia, dalam satu kenyataan, mengumumkan Alexei Lovchev yang menang pingat emas Kejohanan Dunia di Houston pada November tahun lalu dengan mencipta rekod dunia, digantung empat tahun selepas positif dadah jenis ipamorelin.

Pingat emas miliknya kini diserahkan kepada atlet Georgia, Lasha Talakhadze manakala rekod dunia Lovchev dibatalkan serta merta, sekali gus rekod dunia berusia 16 tahun kekal milik atlet Iran, Hossein Rezazadeh.

Atlet lain yang dikenakan hukuman gantung empat tahun ialah Alexei Kosov dan Olga Afanasyeva manakala bekas juara Eropah, Olga Zubova digantung lapan tahun selepas kesalahan kedua.

Alexei Lovchev digantung empat tahun selepas positif dadah jenis ipamorelin. – AFP
Alexei Lovchev digantung empat tahun selepas positif dadah jenis ipamorelin. – AFP

Ketiga-tiga mereka diuji positif mengambil steroid. Zubova yang gagal pada ujian doping pada Kejohanan Dunia pada 2013, kembali bertanding hanya sebulan selepas menamatkan tempoh penggantungannya.

Persekutuan Angkat Berat Russia akan mengemukakan rayuan hukuman ke atas Lovchev dengan mendakwa berlaku kesilapan ujian di makmal tetapi tidak mempertikaikan ujian ke atas atlet lain.

Sementara itu, peguam Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa, Magdolna Trombitas memberitahu Associated Press hukuman ke atas atlet berkenaan sudah dimuktamadkan dan tidak boleh memberikan sebarang kenyataan sehingga rayuan selesai.

ARTIKEL YANG SAMA