‘Love scam’ catat kerugian lebih tiga kali ganda

‘Love scam’ catat kerugian lebih tiga kali ganda

MELAKA, 9 Dis – Kes jenayah siber di seluruh negara terutama “Love Scam” menunjukkan kerugian lebih tiga kali ganda iaitu meningkat daripada RM52.3 juta pada tahun lepas kepada hampir RM195 juta antara Januari hingga November tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Wira Hamza Taib berkata bilangan kes berkenaan turut meningkat daripada 1,028 kes pada tahun lepas kepada 1,380 kes pada dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

“Kerugian ini menunjukkan pengaliran keluar wang dari negara kita ke negara lain terutama ke negara yang terlibat dalam sindiket penipuan ini iaitu Nigeria dan sebahagian kecilnya dalam Malaysia, yang meniru cara penipuan melalui percintaan di alam maya.

“Mangsa penipuan Love Scam in adalah wanita yang terpengaruh atau terpedaya dengan tawaran percintaan oleh sindiket penipuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jalinan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD) Pasukan Polis Singapura Kelapan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD) Pasukan Polis Singapura David Chew Siong Tai.

Mengulas lanjut, Hamza berkata sebahagian besar mereka tidak mengenali antara satu sama lain tetapi sanggup memberikan sejumlah wang mereka kepada suspek.

Beliau berkata bagi jenayah godam melibatkan emel syarikat besar dan individu juga turut dilaporkan meningkat kepada 139 kes dengan jumlah kerugian kira-kira RM52.9 juta antara Januari hingga November tahun ini berbanding 120 kes dengan jumlah kerugian hampir RM50.1 juta pada tahun lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA