Lovren janji bangkit di Old Trafford

Lovren janji bangkit di Old Trafford

LIVERPOOL, 1 Sept (Reuters) – Tonggak pertahanan Liverpool, Dejan Lovren (gambar) mengakui, dia amat kecewa dengan kesilapan buruk yang dilakukan sehingga menyebabkan West United memperoleh gol kedua, sekali gus menum­paskan pasukannya 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Walaupun kesilapan tersebut menghantui dirinya sejak dua hari lalu, namun pemain antarabangsa Croatia itu berikrar untuk bangkit dengan lebih kuat dan membantu pasukannya mencatat keputusan baik apabila menentang musuh tradisi, Manchester United di Old Trafford pada 12 September ini.

Liverpool yang tidak kalah dalam tiga perlawanan pertama, bagaimanapun ketinggalan seawal minit ketiga menerusi jaringan Manuel Lanzini, dan ketika permainan memasuki minit ke-60, Lovren terlepas kawalan bola kepada Lanzini yang kemudian mencipta gerakan untuk disempurnakan oleh Mark Noble.

“Saya adalah orang yang paling kecewa dengan diri sendiri. Sejurus selepas melepaskan gol kedua, saya rasa seperti hendak bersembunyi di bawah meja.

“Bagaimanapun dalam situasi seperti ini, anda tidak boleh membenarkan diri anda terlalu kecewa kerana anda perlu mengharungi baki permainan.

Lovren (kanan) kelihatan kecewa selepas Liverpool dimalukan 0-3 oleh West Ham di Anfield, Sabtu lalu. – Reuters
Lovren (kanan) kelihatan kecewa selepas Liverpool dimalukan 0-3 oleh West Ham di Anfield, Sabtu lalu. – Reuters

“Saya cuba sedaya upaya, tetapi apa yang boleh saya kata? Ia adalah keputusan yang terus dan kesilapan telah berlaku,” kata pemain berusia 26 tahun itu Lovren kepada laman rasmi kelab, www.liverpoolfc.com.

Memburukkan lagi keadaan, bintang tengah Liverpool, Philippe Coutinho dibuang padang pada awal separuh masa kedua, dan jaringan Diafra Sakho pada waktu kecederaan melengkapkan kemena­ngan pertama The Hammers ke atas The Reds di Anfield sejak 1963.

Lovren, yang mengharungi aksi kurang meyakinkan pada musim pertamanya di Liverpool, tahun lalu berkata, pertemuan menentang United, yang turut dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Swansea adalah waktu terbaik untuk menebus kekecewaan mereka.

“Kesilapan bodoh boleh berlaku dan saya melepaskan gol yang murah. Namun, saya tidak fikir situasi ini menjejaskan tumpuan saya dengan teruk, kami kini beralih sepenuhnya kepada persiapan untuk menang di Manchester United.

“Kami perlu melupakan kekecewaan dan bekerja keras sekarang. Lupakan kekalahan ini dan yakin kami boleh melakukan yang lebih baik lagi,” ujarnya.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Liverpool kini menduduki tangga ketujuh liga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

ARTIKEL YANG SAMA