Lovren kembali

Lovren kembali

LIVERPOOL, 26 Jan – Pertahanan kelab Liverpool, Dejan Lovren kembali bersama pasukan untuk aksi separuh akhir Piala Liga bertemu Stoke City, namun kelab itu bakal kehilangan seorang lagi tonggak belakang, Nathaniel Clyne akibat kecederaan lutut.

Lovren tidak beraksi sejak mengalami kecederaan pangkal paha pada pusingan pertama separuh akhir 5 Januari lalu yang menyaksikan skuad The Reds menang 1-0, tetapi kini sudah turun menyertai latihan pasukan.

“Selepas tiga minggu, Dejan menghabiskan sesi penuh latihan pasukan,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. “Ia sesuatu yang bagus tetapi selepas tiga minggu (tersisih daripada pasukan), kita akan lihatlah bagaimana nanti.”

Clyne pula cedera ketika meraih kemenangan 5-4 ke atas Norwich City, Sabtu lalu dan ini mungkin akan menyaksikan Jon Flanagan akan membuat penampilan dalam kesebelasan utama sejak hujung musim 2013/14 selepas menjalani pembedahan lutut.

“Clyne mengalami perlanggaran di bahagian lutut. Dia seorang yang kuat dan sentiasa bersedia tetapi dia tidak akan menyertai latihan. Dia bersedia untuk bermain tetapi adalah lebih baik sekiranya dia berada dalam keadaan betul-betul bersedia.”

Lovren kembali bersama Reds untuk aksi separuh akhir Piala Liga bertemu Stoke City. – Reuters
Lovren kembali bersama Reds untuk aksi separuh akhir Piala Liga bertemu Stoke City. – Reuters

“Kami perlu melihat apa yang akan berlaku dalam semalam dan kemudian membuat keputusan, tetapi ia tidak terlalu mudah kerana kita hanya ada Flanno. Dia sudah bersedia tetapi sudah tentu ia akan menjadi lebih baik jika Clyney cergas.”

Walaupun pengurus Liverpool gembira semasa berpesta jaringan bersama Norwich dan terharu dengan usaha pasukan menjaringkan gol, tetapi dia kurang terpikat kerana ketidakmampuan mereka untuk mempertahankan gawang bersih.

“Ia bukan satu masalah yang kami boleh abaikan. Kami sentiasa memperbaiki kelemahan kami. Di Norwich, kami mempertahankan jaringan pertama dengan baik tetapi kemudian bergelut dengan kedua atau ketiga. Tidak terlambat untuk belajar. Tetapi sekarang sudah tiba masanya.”

Jaringan kemenangan Adam Lallana pada minit mencetuskan sambutan liar di Carrow Road, dan Klopp, yang pecah kaca matanya dalam huru-hara itu, mengesahkan bahawa dia memakai sepasang lagi kaca mata kedua. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA