LPA berkuat kuasa 1 Oktober ini

LPA berkuat kuasa 1 Oktober ini

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Proses pengambilan pekerja asing bakal dipercepatkan dan dipermudahkan lagi apabila Lesen Pekerja Asing (LPA) yang menggabungkan proses di antara Lesen Pengambilan Pekerja Asing dan Sokongan Pas Kerja (BUR 500/BUR555) mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2016 ini.

Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Idris bin Haji Mohd Ali dalam sidang media di Dewan Serba guna, KHEDN hari ini mengatakan LPA diperkenalkan sebagai usaha dan inisiatif menyokong dan mendukung hasrat kerajaan ke arah dasar pro perniagaan.

Menurutnya, proses LPA di Jabatan Buruh akan memudahkan orang ramai berurusan ke jabatan itu kerana ia hanya akan mengambil masa sembilan hari waktu bekerja berbanding 41 hari sebelum ini. Selain itu, ia juga hanya memerlukan tujuh langkah proses berbanding 12 sebelum ini, di satu tempat iaitu Jabatan Buruh sahaja dan apa yang penting, pengambilan pekerja asing secara berkuota juga ditiadakan.

Manakala daripada segi kemudahan proses baru ini, agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan ditempatkan di kaunter-kaunter Jabatan Buruh demi memudahkan pemohon dan tidak lagi perlu berulang-alik ke jabatan-jabatan berkenaan.

“Ia juga mendukung hasrat negara bagi persekitaran perniagaan yang sihat, mengutamakan penduduk tempatan dalam pengambilalihan jawatan-jawatan dalam sektor industri yang dipegang oleh pekerja asing yang mana akan diisikan oleh pekerja tempatan secara berperingkat dengan memperkenalkan Nisbah Tempatan Asing (NTA),” tambahnya.

Haji Idris ketika menerangkan perkara berkenaan.
Haji Idris ketika menerangkan perkara berkenaan.

Beliau menyatakan ujian rintis (Pilot Test) sudah pun dilaksanakan pada 6 September lalu pada taklimat ringkas kepada beberapa buah syarikat dan agensi pekerjaan sebelum mereka menghantar permohonan.

Setakat ini, sebanyak 22 permohonan telah pun diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 permohonan telah diluluskan dalam tempoh TPOR yang ditetapkan bagi pengeluaran LPA, iaitu dalam masa tujuh hari bekerja.

Menurutnya lagi, permohonan LPA memerlukan pemohon untuk mendapatkan keperluan-keperluan seperti mendaftar di APTK, menyertakan senarai nama pekerja tempatan disahkan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui e-Amanah dan menyertakan sokongan atau pengesahan agensi kerajaan yang lain jika diperlukan.

Beliau menjelaskan melalui pengenalan proses baru ini, perubahan utama ialah proses pengambilan pekerja dalam masa sembilan hari, tujuh langkah yang merangkumi pembayaran wang taruhan dan menandatangani kontrak; kemestian menggaji penduduk tempatan bagi setiap syarikat melalui penentuan jumlah pekerja asing berdasarkan peratus nisbah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Buruh berdasarkan kepada NTA yang telah dipersetujui dan disahkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan mengikut sektor dan pemeriksaan Jabatan Buruh akan dilakukan selepas lesen dibenarkan yang mana sebelumnya dibuat sebelum permohonan dibenarkan.

Walau bagaimanapun bagi sektor pembinaan memerlukan pemeriksaan sebelum dan selepas permohonan diluluskan.

“Dalam hubungan ini, kami sukacita memaklumkan proses baru ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2016 iaitu bagi permohonan lesen baru,” katanya.

Manakala permohonan lesen tambahan akan bermula pada 1 Januari 2017 dan permohonan membaharui lesen akan bermula pada 1 April 2017. Permohonan lesen baru bagi syarikat secara online adalah dengan ini diberhentikan bermula 1 Oktober 2016, tambahnya.

“Kami akan mengadakan jerayawara-jerayawara di setiap daerah bagi menerangkan dengan lebih lanjut kepada majikan dan pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara ini,” jelasnya.

Untuk keterangan lanjut mengenai LPA ini, para majikan dan pihak-pihak berkepentingan bolehlah melayari lama sesawang Jabatan Buruh di www.labour.gov.bn, Facebook Jabatan Buruh, Negara Brunei Darussalam dan Instagram labour.brunei, atau datang terus ke Ruang Legar, Tingkat Bawah, Bangunan Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan, Brunei Darusssalam.

ARTIKEL YANG SAMA