LPA dilaksanakan secara berperingkat

LPA dilaksanakan secara berperingkat

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Bermula 1 Oktober 2016 lalu, Jabatan Buruh telah melaksanakan proses baru bagi pengambilan pekerja asing di bawah dasar Lesen Pekerja Asing (LPA).

Sehubungan itu, Jabatan Buruh berhasrat menjelaskan beberapa perkara berkaitan dengan proses tersebut termasuklah pelaksanaan proses LPA secara berperingkat yang mana peringkat pertama khusus bagi syarikat baru yang belum pernah mendapatkan Lesen Pengambilan Pekerja Asing (Kuota Buruh) sebelum 1 Oktober lalu.

Jabatan Buruh dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan, mana-mana permohonan bagi membaharui, menukar atau menambah pekerja asing dengan menggunakan LPA hanya akan dilaksanakan pada tahun 2017.

Tarik pelaksanaan secara berperingkat LPA yang disasarkan ialah pada 1 Oktober 2016 bagi permohonan baru, 1 Januari 2017 bagi permohonan menambah dan 1 April 2017 bagi permohonan membaharui.

Manakala bagi syarikat-syarikat yang telah memperoleh Lesen Pengambilan Pekerja Asing (Kuota Buruh) sebelum 1 Oktober 2016 atau pernah menghadapkan permohonan bagi mendapatkan tersebut sebelum tarikh tersebut, bolehlah meneruskan permohonan seperti biasa menggunakan permohonan BUR500 (Sokongan Pas Kerja).

Pengeluaran LPA akan mengambil kira beberapa faktor termasuk dokumen sokongan daripada agensi-agensi kerajaan (mengikut sektor/kegiatan syarikat) seperti surat sokongan dari Jabatan Pertanian untuk syarikat berkaitan dengan kegiatan pertanian, surat pengesahan/sokongan dari Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), bilangan pekerja tempatan (merujuk kepada e-Amanah yang boleh dicetak majikan sendiri dari laman sesawang TAP), Nisbah Pekerja Tempatan dan Pekerja Asing (NTA) bagi sektor berkenaan sahaja dan dasar-dasar kerajaan yang membantu pencari kerja tempatan untuk memperoleh pekerjaan.

Jabatan Buruh juga merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kefahaman majikan, agensi pekerjaan dan orang awam sepanjang pelaksanaan proses baru LPA ini.

ARTIKEL YANG SAMA