L’Raya Telisai-Lumut dibuka hari ini

L’Raya Telisai-Lumut dibuka hari ini

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Perjalanan dari ibu negara ke Kuala Belait akan menjadi licin dan lancar serta lebih menjimatkan masa apabila Lebuh raya Telisai-Lumut sepanjang 18.6 kilometer mula dibuka jam 4 petang esok.

Lebuh raya tersebut yang mempunyai jalan raya berkembar dari Telisai sehingga ke Bypass Lumut bertujuan mengatasi masalah kesesakan jalan raya antara Telisai-Lumut yang sentiasa menjadi rungutan pengguna-pengguna laluan tersebut, terutama pada waktu-waktu puncak.

Dalam sesi taklimat media di iCentre menjelang pembukaan lebuh raya tersebut hari ini, Jurutera Kanan Darussalam Enterprise (DARe), Simon Tsen Kheng Voon berkata, bagi mengelakkan kekeliruan para pengguna lebuh raya, beberapa arahan dan tanda jalan telah disediakan di beberapa kawasan sebagai panduan para pengguna.

Menurut beliau, bagi pengguna jalan dari Bandar Seri Begawan (BSB) ke Telisai, mereka hendaklah memasuki pusingan-U (U-Turn) pertama setelah melintasi simpang Stesen Satelit Telisai iaitu kira-kira 5 kilometer dari jalan menuju ke Telisai.

“Bagi pengguna yang menuju ke Kuala Belait dari Telisai, mereka perlu masuk simpang menuju ke Perumahan Bukit Beruang dan merentas jambatan tersebut dan seterusnya menggunakan jalan pusing keliling berhampiran untuk menuju ke Kuala Belait.

Sesi taklimat media mengenai Lebuhraya Telisai-Lumut di iCentre petang kelmarin.
Sesi taklimat media mengenai Lebuhraya Telisai-Lumut di iCentre petang kelmarin.

“Sementara bagi pengguna dari BSB yang hendak menuju ke Sungai Paku, mereka hanya perlu memasuki pusingan-U kedua selepas pusingan-U ke Telisai, dan menuju ke jalan penghubung Sungai Paku.”

Menurut beliau lagi, para pengguna jalan dari BSB menuju ke Labi pula hanya memasuki pusingan-U ketiga sebelum menuju ke kawasan Lumut, dan bagi pengguna jalan dari BSB ke Lumut, pusingan-U masih lagi di tempat yang sama iaitu berdekatan dengan Kampus Sains dan Kejuruteraan Politeknik Brunei.

Sementara itu, wakil dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Pegawai Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas cawangan Daerah Belait, Inspektor Mohd Fadhillah bin Haji Ibrahim yang hadir pada taklimat media itu, menasihati para pengguna lebuh raya itu supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

Mereka disarankan agar memberi tumpuan sepenuhnya semasa memandu, sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan had laju bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi, lebih-lebih lagi semasa menziarahi saudara-mara atau keluarga semasa musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beberapa kawasan pusingan-U yang perlu diambil perhatian oleh para pengguna Lebuhraya Telisai-Lumut yang dibuka kepada para pengguna, hari ini.
Beberapa kawasan pusingan-U yang perlu diambil perhatian oleh para pengguna Lebuhraya Telisai-Lumut yang dibuka kepada para pengguna, hari ini.

Kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Telisai-Lumut yang menelan kos sekitar $168 juta itu bermula pada bulan Februari 2010 dan siap pada 31 Mei 2016.

Projek berkenaan merupakan sebahagian usaha meningkatkan infrastrukur pengangkutan negara bagi menghubungkan Daerah Brunei dan Muara; Daerah Tutong dan Daerah Belait khususnya memudahcara perhubungan serta peredaran penduduk dan barangan bagi mempergiatkan aktiviti sosioekonomi dalam agenda pembangunan negara.

Turut hadir pada sesi taklimat media hari ini ialah Ketua Khidmat Nasihat Perniagaan DARe, Dayang Norlela Suhailee; Ketua Pengurusan Tapak Perindustrian DARe, Daniel Leong Nyuk Ming; Pengarah Projek dari Third Harbour Engineering Co. Ltd, Tong Xiao Fei; Pengarah Urusan Surati Construction Sdn Bhd, Kua Tshin Heng; Pegawai Kawalan Lalu Lintas Daerah Tutong, P/ASP Dayangku Nurazriani binti Pengiran Anuar; Pemangku Jurutera Eksekutif Kanan, JKR (Jalan Raya), Awang Rafitra Haji Abd Razak, dan Pengurus Projek Jurutera Tempatan, Tang Ung King.

ARTIKEL YANG SAMA