LSCB cemas

LSCB cemas

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Kelab Penyokong Liverpool Brunei (LSCB) cemas sebelum bangkit untuk menang 4-2 semasa menentang Kilugos FC dalam aksi Kumpulan C Futsal Piala Perdana TelBru 2015.

Abdul Matin yang berseorangan di atas ketika LSCB melakukan serangan tidak mensia-siakan peluang apabila menerima hantaran rakan dalam serangan balas Kilugos FC untuk berdepan penjaga gol LSCB, yang mudah ditewaskannya untuk gol pertama perlawanan pada minit kesembilan.

Walaupun Mohd Nur Aiman berjaya mengimbangi perlawanan dengan jaringannya pada minit ke-15 untuk LSCB, seminit sebelum berakhirnya babak pertama, giliran Omar pula mendapati dirinya dalam situasi seperti rakannya, Abdul Matin, dan dia juga tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol LSCB.

Selepas ketinggalan 1-2, LSCB segera bertindak sehingga menyamakan kedudukan hanya dua minit selepas sepak mula babak kedua menerusi jaringan Mohd Shawal.

Tiga minit kemudian iaitu pada minit ke-25, LSCB mendahului 3-2, hasil jaringan Ahmad Marwan.

Abdul Matin meraikan jaringan pembukaan Kilugos FC pada minit kesembilan semasa menentang LSCB semalam.
Abdul Matin meraikan jaringan pembukaan Kilugos FC pada minit kesembilan semasa menentang LSCB semalam.

Namun kemenangan LSCB hanya dapat dipastikan setelah rembatan Khairul Handi pada minit ke-38 berjaya menggegar gawang Kilugos FC yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan sekali gus memberikan kelegaan kepada pihak pengurusan LSCB kerana berjaya mara ke pusingan kalah mati.

Melalui kemenangan itu, LSCB mengumpul enam mata untuk muncul naib juara Kumpulan D, tiga mata di belakang Star Madang yang menang semua perlawanan.

Eagle Blues pula berputih mata selepas hanya mengutip tiga mata dan tidak cukup untuk meraih slot ketiga terbaik, yang setakat ini diisi Bio FT dari Kumpulan B yang mengutip empat mata, 17 jaringan dan 16 bolos.

Kilugos FC juga gagal mara selepas gagal mengutip sebarang mata akibat tewas ketiga-tiga perlawanannya dalam peringkat kumpulan, 0-5 kepada Eagle Blues, 0-5 kepada Star Madang dan terkini 2-4 kepada LSCB.