LTA Dubai paling sibuk di dunia

LTA Dubai paling sibuk di dunia

DUBAI, 1 Feb – Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Dubai masih merupakan lapangan terbang paling sibuk di dunia untuk penumpang antarabangsa pada 2015 tatkala lalu lintas meningkat 10.7 peratus, dirangsang oleh penambahan kapal terbang dan laluan baru, kata operator lapangan terbang hari ini.

Lalu lintas tahunan meningkat kepada 78 juta penumpang daripada 70.5 juta pada 2014. Pada bulan Disember sahaja, lalu lintas meningkat 8.5 peratus kepada 7.05 juta orang.

Penambahan 12 destinasi penumpang baru dari LTA Dubai menambah lalu lintas menerusi lapangan terbang tatkala syarikat penerbangan tempatan Emirates dan flydubai berkembang. Air Canada, Eurowings di Jerman dan China Southern juga mulai beroperasi di Dubai.

Tahun lalu melihat ketegangan dan konflik serantau di negara termasuk Yaman, Iraq dan Syria, tetapi Ketua Eksekutif Lapangan Terbang Dubai Paul Griffiths berkata dalam satu temu bual telefon: “Kami belum melihat sebarang kesan akibat konflik serantau.”

Dubai pada mulanya memintas Heathrow di London untuk menjadi lapangan terbang paling sibuk di dunia untuk lalu lintas antarabangsa pada 2014. Heathrow melihat 75.0 juta penumpang melalui pintunya pada 2015, naik 2.2 peratus, menurut angka di laman webnya.

Keadaan LTA Dubai yang sentiasa dalam keadaan sibuk menerima kehadiran penumpang dari seluruh negara. - Reuters
Keadaan LTA Dubai yang sentiasa dalam keadaan sibuk menerima kehadiran penumpang dari seluruh negara. – Reuters

India mengekal kedudukannya sebagai satu negara destinasi terbesar Dubai pada 2015 dengan 10.4 juta penumpang, meningkat 17 peratus.

Operator lapangan terbang sedang menguji Concourse D baru bernilai $1.2 bilion, yang akan menempatkan kapal terbang asing yang kini menggunakan Concourse C, memberikan Emirates ruang untuk berkembang.

Concourse D dijangka memulakan operasi pada suku ini; Griffiths berkata tarikh sebenar akan bergantung pada keputusan percubaan awam yang dijangka bermula dalam masa beberapa hari.

Jumlah kargo di LTA Dubai meningkat 3.4 peratus kepada 2.51 juta tan pada tahun lalu meskipun pemindahan kesemua operasi kargo ke lapangan terbang Dubai World Central. Jumlah tambang muatan pada Disember meningkat 5 peratus kepada 218,408 tan, kata operator. – Reuters