LTAM terima penerbangan terus dari Guangdong

LTAM terima penerbangan terus dari Guangdong

MELAKA, 23 Mac (Bernama) – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini akan menerima 26 penerbangan terus dari wilayah Guangdong, China mulai Julai hingga Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata penerbangan antarabangsa oleh Southern China Airline itu dilihat bakal menjadi pemangkin kepada kemasukan pelancong dari negara tembok besar itu.

“Penerbangan tersebut akan menggunakan pesawat Airbus A319 yang dapat memuatkan 120 penumpang.

“Kita akan melihat sambutan selepas ini sebelum menambah jumlah penerbangan mungkin kepada dua atau tiga kali seminggu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata syarikat penjana dan pembekal tenaga elektrik, Edra Global Energy Bhd (Edra) bersetuju untuk melabur sebanyak RM4 bilion bagi pembinaan jana kuasa dan talian penghantaran elektrik di negeri ini.

“Ini merupakan projek baharu syarikat tersebut yang akan membina sebuah penjana gas turbin di stesen jana kuasa di Telok Gong, Masjid Tanah di sini dan talian penghantaran ke Bahau, Negeri Sembilan.

“Penjana tenaga itu akan menjana elektrik sebanyak 2,400 megawatt ke seluruh negara,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA