Luar dalam bangunan perlu diambil berat

Luar dalam bangunan perlu diambil berat

SEBAGAI seorang pesara syarikat swasta, hobi saya pada masa ini suka ‘makan angin’ di sekitar bandar termasuk Jalan Tutong Lama, Serasa, Sungai Kebun, Lumapas dan baru-baru ini saya singgah di Pejabat Pos Muara, Pekan Muara untuk membeli setem dan mengepos surat serta membeli Sampul Surat Pertama.

Selaku seorang pelanggan, saya amat terkilan apabila melihat di kawasan luar pejabat pos berkenaan sungguh hambar dan tiada seri tanpa tanaman bunga-bungaan, selain rumput di sekelilingnya terbiar panjang dan seperti sudah lama tidak dipotong.

Dan baru-baru ini juga saya melintas ke kawasan bekas bangunan Pejabat Pos Mata-Mata yang sudah lebih tiga bulan berpindah ke Bangunan Warisan Mata-Mata, Gadong, namun papan-papan tanda Pejabat Pos itu masih lagi ada di beberapa tempat di jalan berkenaan.

Perkara itu, boleh menjadikan orang ramai keliru ketika hendak berurusan dengan Pejabat Pos Mata-Mata.

Sehubungan dengan itu, saya menyarankan agar pihak-pihak yang bertanggungjawab lebih peka akan hal ini dan mengambil berat untuk membisaikan lagi keadaan cawangan pejabat-pejabat pos di negara ini selain menyediakan perkhidmatan tambahan seperti membaharui cukai jalan dan lesen memandu untuk kemudahan dan keselesaan orang tempatan dan orang luar.

– Orang Katok/Mata-Mata

ARTIKEL YANG SAMA