Luca Digne yakin ‘MSN’ rempuh PSG

BARCELONA, 14 Feb – Lucas Digne berkata barisan serangan maut Barcelona sekali lagi akan membawa mereka melepasi Paris Saint-Germain (PSG) apabila kedua buah pasukan itu bertemu di Parc des Princes dalam peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.

Baru sahaja berusia 23 tahun, bek kiri Digne sudah mempunyai pengalaman pada peringkat tertinggi bersama PSG di tanah airnya dan Roma di Itali, tetapi tidak sehebat kemahuan untuk menang sejak dia menyertai Barcelona pada bulan Julai.

“Apabila anda seorang pesaing, anda selalunya mahu menang. Bilik persalinan wujud kerana itu, kelab ini ditubuhkan kerana itu.Setiap tahun, anda perlu memenangi piala. Kami bermain kerana mahu kejuaraan,” kata Digne.

Digne sudah memenangi Piala Super Sepanyol musim ini bagi menambah koleksi lapan piala yang telah dimenanginya dalam hanya dua tahun di PSG.

Namun, hadiah yang lebih besar dan mencabar menanti dengan Barca dalam pemburuan tiga kejuaraan buat kali kedua dalam masa tiga tahun.

Pasukan Luis Enrique akan berkunjung ke Paris bagi aksi pertama peringkat 16 pasukan terakhir dengan hanya satu mata di belakang pendahulu La Liga dan telah menempah tempat dalam final Copa del Rey.

Digne bersama pasukan yang kalah apabila Barca mara bagi Piala Eropah buat kali kelima selepas menyingkirkan PSG dengan agregat 5-1 dalam suku akhir dua tahun lalu.

Gandingan Luis Suarez dan Neymar menemui sasaran dalam pertembungan itu, tetapi Lionel Messi kekal menjadi pemain utama dalam tiga barisan serangan ‘MSN’ Barca.

“Apabila anda mempunyai barisan penyerang terhebat di dunia, ia selalunya mampu memberikan kelainan.

“Matlamat dalam bola sepak adalah menjaringkan gol, jadi jika anda mempunyai serangan yang baik, pasti ia membantu.” – AFP