Luis Nani sertai Fenerbahce

Luis Nani sertai Fenerbahce

ISTANBUL, 7 Julai (AFP) – Bintang Portugis, Nani semalam menyertai kelab Fenerbache dari Manchester United dengan yuran perpindahan enam juta euro pound ketika gergasi Istanbul itu berusaha menambah pemain warga asing dalam pasukan mereka untuk musim baru.

Selepas mendapatkan pemain pertahanan Denmark Simon Kjaer dari kelab Lille di Perancis, Fenerbahce dilaporkan hampir menandatangani penyerang Manchester United, Robin van Persie.

Nani, 28, dan pemain United sejak 2007, banyak menghabiskan musimnya dalam pinjaman di bekas kelabnya Sporting Lisbon dan dijangka tidak berada dalam perancangan pengurus Louis van Gaal bagi musim akan datang.

Pemain sayap kelahiran Cape Verde itu tiba di lapangan terbang Istanbul dengan sambutan wira daripada peminat Fenerbahce lewat Ahad lalu dan berjaya menjalani pemeriksaan kesihatan semalam.

Beribu-ribu peminat kemudian hadir di stadium kelab Sukru Saracoglu untuk mengalu–alukan Nani dan menyaksikan majlis menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Ribuan peminat menyaksikan Luis Nani (tengah) menandatangani kontrak bersama Fenerbahce di stadium Sukru Saracoglu di Istanbul semalam. – AFP
Ribuan peminat menyaksikan Luis Nani (tengah) menandatangani kontrak bersama Fenerbahce di stadium Sukru Saracoglu di Istanbul semalam. – AFP

“Saya merasa gembira dan bangga menjadi pemain Fenerbahce bermula hari ini,” kata pemain Portugese itu.

Nani yang jelas gembira dengan sambutan peminat, menambah: “Bermula dari sekarang, saya pasti membuat keputusan tepat untuk datang ke sini. Ini adalah peluang yang hebat.”

Nani berkata dia tidak akan berjanji tetapi berikrar: “Saya akan memberikan segala-galanya bagi kelab. Saya akan memberikan yang terbaik bagi setiap perlawanan.”

Selama lapan tahunnya di Manchester United, Nani menjaringkan 41 gol dalam 230 kemunculan.

Dia memenangi empat gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara bersama bekas pengurus Alex Ferguson.

ARTIKEL YANG SAMA