Luiz kembali ke Chelsea

Luiz kembali ke Chelsea

LONDON, 1 Sept – Chelsea bersetuju dengan syarat-syarat Paris Saint Germain untuk mengambil semula David Luiz kelmarin menjelang tarikh akhir musim perpindahan di seluruh Eropah.

Luiz, 29, muncul pemain pertahanan termahal apabila Chelsea menjualnya kepada PSG dengan nilai 50 juta pound dua tahun lalu.

Namun dia dikatakan mungkin kehilangan tempat di PSG kepada rakan senegara, Marquinhos dan memilih kembali ke Stamford Bridge dengan bayaran dikatakan mencecah sekitar 32 juta pound.

Dalam perjanjian yang dimeterai pada saat akhir, Luiz yang juga pertahanan Brazil kembali semula ke Chelsea selepas dua tahun di Paris Saint-Germain.

Chelsea juga mendapatkan pertahanan kiri dari Sepanyol, Marcos Alonso daripada Fiorentina dengan bayaran dilaporkan sekitar 23 juta pound, sementara pemain sayap Colombia, Juan Cuadrado menyertai Juventus menerusi pinjaman selama tiga tahun.

Luiz kembali semula ke Stamford Bridge selepas dua tahun bersama PSG. – AFP
Luiz kembali semula ke Stamford Bridge selepas dua tahun bersama PSG. – AFP

Sementara itu, Jack Wilshere berpindah secara mengejut ke satu lagi pasukan PL, Bournemouth secara pinjaman, semalam.

Wilshere sebelum ini pernah dianggap sebagai seorang daripada pemain muda yang berbakat di PL, namun Arsene Wenger membenarkan pemain berumur 24 tahun ini meninggalkan Stadium Emirates bagi memulihkan semula kariernya.

Wilshere dibelenggu siri kecederaan dan insiden luar padang dalam musim sebelum ini dan dia dipinggirkan daripada skuad pertama England, Sam Allardyce pada minggu ini.

Dia bergelut mendapatkan tempat apabila berada di belakang Granit Xhaka, Mohamed Elneny, Aaron Ramsey dan Santi Cazorla dalam barisan pemain tengah. Kali terakhir Wilshere dapat bermain selama 90 minit adalah pada perlawanan PL adalah pada September 2014.

Dia dirisik oleh Crystal Palace, AS Roma dan AC Milan selepas bersetuju dengan cadangan Wenger tentang manfaat yang diperoleh apabila dapat diturunkan dalam pasukan pertama secara tetap.

Tetapi Bournemouth memenangi pemburuan menandatangani pemain itu selepas dikatakan bersetuju membayar juta pound sebagai bayaran pinjaman dan membayar gaji 80,000 pound seminggu.

Kehadiran penyerang Bournemouth, Benik Afobe yang juga bekas rakan pasukan di Arsenal juga berkemungkinan sebagai penyumbang untuknya berpindah ke situ. – AFP