Luka Bayern masih belum pulih

Luka Bayern masih belum pulih

BERLIN, 8 Mei (AFP) – Thomas Mueller mengakui kejayaan merangkul gelaran Bundesliga buat kali keempat berturut-turut, malam tadi masih belum cukup untuk meredakan kekecewaan Bayern Munich yang tersingkir di separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut pada pertengahan minggu.

Robert Lewandowski meledak dua gol bagi memastikan Bayern menjadi kelab pertama memenangi kejuaraan Liga Jerman buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Ingolstadt 2-1.

Kekalahan penghuni tangga kedua, Borussia Dortmund 0-1 di tangan Eintracht Frankfurt menyaksikan Bayern memiliki kelebihan lapan mata di tangga teratas dengan berbaki satu perlawanan.

Kemenangan di Ingolstadt menyaksikan Bayern kini memenangi gelaran juara liga sepanjang tiga musim dikendalikan Pep Guardiola sebelum dia berpindah ke Manchester City musim depan.

Bagaimanapun, kejayaan Bayern itu hadir empat hari selepas mereka dikecewakan dengan penyingkiran daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Atletico Madrid yang mara ke final berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan selepas menang aksi separuh akhir pertama 1-0 di Madrid dan tewas 1-2 di Munich.

Lewandowski menjaringkan gol pembukaan dari sudut penalti pada perlawanan Liga Jerman menentang FC Ingolstadt di Jerman, semalam. - AP
Lewandowski menjaringkan gol pembukaan dari sudut penalti pada perlawanan Liga Jerman menentang FC Ingolstadt di Jerman, semalam. – AP

“Ini bukan sagu hati selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara. Kami boleh berasa sedih tetapi ini bukan masanya untuk bercakap mengenai separuh akhir Liga Juara-Juara,” kata Mueller.

Namun, Mueller mengakui ada sedikit kelegaan apabila akhirnya Bayern mencipta sejarah merangkul gelaran juara liga buat kali keempat berturut-turut.

“Kami bermain dengan baik secara sepasukan. Ia pencapaian yang hebat dan Dortmund adalah naib juara terbaik dalam sejarah Bundesliga.

“Kita dapat lihat lagi hari ini (malam tadi) betapa semua pihak lawan akan memberikan yang terbaik apabila menentang kami. Semua orang lihat mudah untuk memenangi liga tetapi ia sebenarnya sukar pada Ogos lalu.

“Sudah pasti kami mempunyai kualiti, tetapi tanpa atitud yang betul, ia tidak banyak membantu,” kata penyerang Jerman itu.

ARTIKEL YANG SAMA