Lukaku ledak hatrik

Lukaku ledak hatrik

SUNDERLAND, 13 Sept – Penyerang kebangsaan Belgium, Romelu Lukaku, mengakhiri kemarau panjangnya tanpa jaringan apabila meledak hatrik ketika Everton menumpaskan Sunderland 3-0, awal pagi tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu yang tidak menjaringkan gol sepanjang 13 perlawanan sejak Mac lalu, menjaringkan ketiga-tiga gol itu dalam tempoh 11 minit bermula pada minit ke-60.

Kemenangan itu menyaksikan kelab terbabit mendaki ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

“Saya fikir semuanya berkaitan dengan tahap kecergasan. Saya gembira untuk pasukan.

“Saya fikir kami boleh menjaringkan lima gol di penghujung perlawanan. Saya perlu menjadi lebih tajam bagi pasukan untuk mencapai objektif mereka,” kata Lukaku kepada Sky Sport.

Romelu Lukaku (kanan) ketika menjaringkan salah satu jaringannya pada perlawanan tersebut. – AP
Romelu Lukaku (kanan) ketika menjaringkan salah satu jaringannya pada perlawanan tersebut. – AP

Kemenangan menyaksikan pengurus baru, Ronald Koeman, muncul pengendali Everton pertama sejak Thomas McIntosh pada 1919, memenangi dua perlawanan berturut-turut di laman lawan.

Kekalahan kepada Sunderland tambah menyakitkan terutama buat kelab yang ketika ini dibimbing bekas jurulatih Everton, David Moyes.

Sunderland ketika ini sekadar mengumpul satu mata daripada empat perlawanan liga.

Koeman yang tiba ke Everton dari Southampton pada musim panas ini mengakui berang dengan prestasi yang ditampilkan pemainnya pada babak pertama.

Pengurus kelahiran Belanda itu bagaimanapun tidak pernah bimbang dengan prestasi Lukaku dan menggelarnya sebagai ‘pemain hebat.’

“Saya fikir kami akan menjadi satu daripada pasukan yang bersaing bagi tempat di Eropah.

“Ia adalah sasaran yang realistik. Jika kami bermain seperti kami lakukan pada babak pertama, kami akan berada di tangga ke-13 atau 14. Pemain bukan bodoh, mereka tahu apa mereka mampu lakukan,” katanya.

Sementara itu, Moyes nyata kecewa dengan keputusan itu, terutama pada 30 minit terakhir. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA