Lukaku selamatkan Toffees

Lukaku selamatkan Toffees

LIVERPOOL, 8 Dis – Romelu Lukaku terus cemerlang apabila menjaringkan gol penyamaan untuk membantu Everton seri 1-1 dengan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Lukaku menunjukkan prestasi menakjubkan sejak sebulan lalu dan Palace gagal menyekat penyerang antarabangsa Belgium itu yang menjaringkan gol dari jarak dekat ketika perlawanan berbaki sembilan minit lagi di Goodison Park.

Bekas bintang Chelsea itu kini sudah menjaringkan 50 gol dalam 100 penampilan bersama Everton sejak menyertai kelab itu secara pinjaman pada 2013 sebelum menandatangani kontrak bernilai 28 juta pound secara tetap setahun kemudian.

Dia merekodkan 14 gol dalam semua kejohanan musim ini dengan tujuh daripadanya dihasilkan dalam enam perlawanan terakhir.

Lukaku merembat bola untuk menjaringkan gol semasa menentang Crystal Palace di Goodison Park semalam. - Reuters
Lukaku merembat bola untuk menjaringkan gol semasa menentang Crystal Palace di Goodison Park semalam. – Reuters

“Saya bangga tetapi saya bermain untuk pasukan, jadi saya gembira dengan rekod ini. Namun, saya kecewa kami gagal mengutip tiga mata.

“Selepas mereka menjaringkan gol, kami memberikan tindak balas yang sangat baik, ia membuktikan kami mempunyai perwatakan dan tidak mudah putus asa,” kata Lukaku.

Everton kini melonjak ke tangga kesembilan liga dengan terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan manakala Palace berada di kedudukan keenam. – AFP