Lukisan tepi pantai klasik ‘360 darjah’ diberi nafas baru

THE HAGUE – Berada di atas platform yang tinggi, dua orang pembaik pulih sedang memvakum di ‘udara’. Sekilas sapuan dari span, kemudian diikuti dengan sentuhan kecil menggunakan pensil. Sedikit demi sedikit, awan besar mula terbentuk di atas kawasan The Hague dan mengembalikan semula warna aslinya.

Setiap dua dekad Panorama Mesdag, lukisan panorama tertua di dunia ini masih berada di tempat asalnya, dan mendapat pengubahsuaian di bawah pengawasan pengunjung, yang berada di luar pusat kota yang megah.

Dicat oleh ahli pakar Belanda abad ke-19, Hendrik Willem Mesdag, dari tahun 1880 hingga 1881, karya ini memberikan pengunjung pemandangan 360 darjah pantai di Scheveningen, sebuah kawasan tepi pantai yang terkenal di The Hague, menciptakan satu pamandangan ilusi buat pengunjungnya yang mana seperti berada di tengah-tengah tempat lokasi tersebut.

Seperti pada lewat tahun 1800-an, pengunjung-pengunjung pada hari ini masih kagum dengan lukisan silinder berkualiti tiga dimensi itu. Pengunjung memanjat tangga untuk berada di tengah-tengah rotunda kayu buatan, dibina di atas pasir sebenar. Dikelilingi dengan lukisan itu sahaja, ia sudah mencipta satu pemandangan ilusi optik yang sempurna.

Berada di pantai, bot-bot nelayan kelihatan berlabuh dan berlepas dari Laut Utara. Di tempat lain pantai itu pula, kelihatan tentera-tentera menunggang kuda-kuda mereka. Lihat ke arah lain pula, terlihat kawasan perkampungan Scheveningen, dan juga menara gereja tinggi di Hague – seperti berada pada 140 tahun yang lalu.

Pengunjung berada di ‘rotunda’, yang telah dipasang oleh pelukis Belanda, Hendrik Willem Mesdag, agar karyanya ‘Panorama Mesdag’ mudah disaksikan. – AFP
Ahli pemulihan seni lukisan, Leonoor Speldekamp (kanan) dan Jorinde Koenen melakukan kerja-kerja pemulihan di ‘Panaroma Mesdag’ oleh pelukis Belanda, Hendrik Willem Mesdag di The Hague. – AFP

“Kami benar-benar percaya bahawa kami berada di pantai pada tahun 1880,” kata salah seorang pelancong China. “Ianya sangat menarik.”

Tetapi buat masa ini ahli pemulih Mesdag telah menjadi perhatian.

“Kadang-kadang pengunjung berkata ‘helo’ kepada kami,” senyum Leonoor Speldekamp, ??sambil menyapu lembut debu-debu yang terdapat pada lukisan bangunan gereja itu sehinggalah ia mengembalikan warna asalnya.

“Sesetengah orang yang melawat muzium ini ingin mengetahui bagaimana kerja-kerja pemulihan dan pembersihan dilakukan. Apabila kami tiada atau rehat makan tengah hari, mereka akan merasa kecewa jika kami tidak berada di perancah,” katanya.

Dia turut mengambil bahagian dalam misi pemulihan sebelumnya 20 tahun lalu. “Terdapat lubang di kanvas itu. Ia mengalami kerosakan yang teruk kerana seekor burung telah memusnahkan sebuah tanggam di bumbung muzium, dan menyebabkan kebocoran,” kata pemulih.

Itulah kali pertama lukisan ini dibaik pulih dan dibersihkan secara menyeluruh. Sebelum itu, ia “dibersihkan dan dipulihkan sekali-sekala,” kata Suzanne Veldink, salah seorang ahli pasukan pengurusan Mesdag.

Seperti seekor burung phoenix muncul dari abu setiap dua dekad, keseluruhan Panorama Mesdag – 14 meter (45 kaki) tinggi dan 120 meter bulatan – sedang dibersihkan dengan berhati-hati, bermula dari bahagian atas di mana sebahagian besar habuk terkumpul.

Leonoor Speldekamp (kiri) dan Jorinde Koenen berdiri di atas platform semasa kerja-kerja pemulihan dijalankan. – AFP

“Tidak ada lapisan varnis, yang bermaksud kotoran, debu, jelaga dan lain-lain lagi yang boleh menembusi lukisan ini,” kata Speldekamp.

Waktu seolah-olah terhenti bagi pembaik pulih ini kerana untuk menghilangkan habuk tersebut, ianya perlu disapu dengan teliti dan rekahan-rekahan yang ada diwarnai semula. Kehadiran pembaik pulih ini, yang juga meresapi landskap lukisan abad ke-19 itu, adalah dianggap tidak biasa dan tidak dapat dielakkan.

“Panorama Mesdag kekal menjadi sebagai sebuah muzium persendirian dan kami tidak mampu untuk menutupnya semasa proses pemulihan tiga bulan,” kata Veldink.

“Bagi orang awam, ia adalah nilai tambah sebenar bagi lawatan ini (pada masa ini). Ia hanya berlaku pada setiap 20 tahun, jadi ia sangat istimewa untuk disaksikan,” katanya kepada AFP.

“Kami datang dengan tujuan iaitu melihan proses pemulihan kanvas ini,” kata salah seorang pencinta lukisan dari Israel bersama dengan suaminya.

“Ia sangat luar biasa dan jarang dilihat,” katanya.

Salah seorang pelukis terkenal pada masa itu, Mesdag telah dibantu oleh rakan-rakannya dalam rekaan terhebatnya. Dia juga mencipta dan membiayai muzium itu, dan juga mencipta idea untuk memasang rel di atas tanah untuk membolehkan pembaik semula dijalankan di masa depan dan pergerakan di sekitar lukisan itu.

Ia kini merupakan sebuah grafik utama di The Hague, mengalu-alukan kira-kira 150,000 hingga 200,000 pengunjung setiap tahun. Kerja-kerja pemulihan ini telah siap dilaksanakan pada pertengahan bulan September lalu. – AFP