Lulus rang undang-undang kontroversi

Lulus rang undang-undang kontroversi

TOKYO, 16 Julai – Rang undang-undang keselamatan mencetuskan kontroversi yang menurut para pembangkang akan melemahkan pasifisme atau membantah kekerasan yang diamalkan sejak 70 tahun lepas serta boleh menyaksikan tentera Jepun berperang di luar negara bagi kali pertama sejak Perang Dunia II di luluskan di Dewan Rakyat Parlimen hari ini.

Selepas ucapan penuh bersemangat daripada beberapa anggota perundangan kanan, parti-parti pembangkang memboikot pengundian tersebut, yang akan melonggarkan belenggu ke atas pasukan tentera negara itu, dengan gabungan pemerintah pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe meluluskan perundangan berkenaan.

“Keadaan keselamatan di sekeliling Jepun adalah semakin teruk,” Abe memberitahu para wartawan selepas pengundian itu, yang kelihatannya merujuk kepada peningkatan cabaran dari China.

“Rang undang-undang ini adalah amat perlu untuk melindungi nyawa rakyat Jepun dan mencegah peperangan sebelum ia meletus.”

Rang undang-undang tersebut kini dijangka dibentangkan pula di Dewan Pertuanan. – dpa

Shinzo Abe (tengah) dan anggota Kabinetnya bertepuk tangan selepas ucapan oleh salah seorang anggota parti gabungan, Parti Komeito, ketika sesi pleno Dewan Rakyat di Parlimen, di Tokyo pada 16 Julai 2015. – AFP
Shinzo Abe (tengah) dan anggota Kabinetnya bertepuk tangan selepas ucapan oleh salah seorang anggota parti gabungan, Parti Komeito, ketika sesi pleno Dewan Rakyat di Parlimen, di Tokyo pada 16 Julai 2015. – AFP