Lulusan PCSA hadiri pembukaan Minggu Ta’aruf

Lulusan PCSA hadiri pembukaan Minggu Ta’aruf

OIeh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Seramai 77 orang yang lulus Peperiksaan Calon Sekolah Arab (PCSA) bagi Daerah Belait telah menghadiri Majlis Pendaftaran Penuntut Baru Tahun 5 Sekolah Arab Belait dan Pembukaan Minggu Ta’aruf yang diadakan di dewan serba guna sekolah tersebut di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 39 orang adalah penuntut lelaki dan 38 lagi penuntut perempuan.

Bagi sesi tahun 2016, kebanyakan penuntut yang lulus adalah dari kawasan Lumut-Liang dan Belait, selain itu, sekolah berkenaan juga menerima pendaftaran beberapa orang penuntut yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Mukim Labi dan juga daripada Kampung Sungai Teraban.

Guru Besar Sekolah Arab Belait, Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali memberitahu, jumlah penuntut yang memasuki Sekolah Arab Belait pada tahun ini adalah yang paling ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya, sehubungan itu sekolah tersebut telah membukakan sebanyak tiga buah kelas.

Minggu Ta’aruf yang akan berlangsung selama tiga hari berkenaan bertujuan untuk membiasakan penuntut baru dengan budaya di sekolah tersebut dan bagi menyesuaikan diri bersama rakan-rakan baru.

Hajah Noramalina semasa menyampaikan taklimat.
Hajah Noramalina semasa menyampaikan taklimat.

Antara perisian yang disediakan sepanjang Minggu Ta’aruf termasuk latihan bacaan Asma’ul Husna dan doa-doa harian, selain pengenalan etos sekolah, pengenalan asas Bahasa Arab, pertandingan Azan, pertandingan hafalan ayat-ayat lazim, pertandingan hafazan Surah Yasin dan pertandingan bacaan Doa Qunut.

Semasa sesi pendaftaran yang turut dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga, para penuntut turut mendengar taklimat pentadbiran dan sebagainya serta sesi soal jawab.

Dalam ucapannya, Hajah Noramalina melahirkan harapan supaya penuntut-penuntut baru akan dapat menyesuaikan diri dengan budaya sekolah Arab dan persekitarannya, selain sentiasa bersedia dan tidak putus semangat walaupun cabaran yang bakal ditempuhi, terutama dalam mempelajari subjek-subjek dalam aliran Arab.