Lumba bot laju Tutong Ahad ini

Lumba bot laju Tutong Ahad ini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Sept – Sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan sukan air di negara ini, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Penabai/Kuala Tutong buat julung kalinya akan mengadakan perlumbaan bot laju di kawasan Sungai Kampung Penabai/Kuala Tutong Ahad ini, 18 September 2016 bermula jam 8:30 pagi hingga selesai.

Menurut Urus setia Perlumbaan Bot Laju, Haji Mohd Alirani bin Haji Awang Besar ketika ditemu bual pagi tadi berkata, tujuan acara itu diadakan adalah untuk memberi ruang kepada yang berminat untuk terlibat dalam sukan air di samping dapat memupuk kerjasama dan bertolak ansur dalam satu pasukan dengan pasukan yang lain.

Kategori yang akan dipertandingkan ialah Kategori Bot Laju 18HP ke bawah sebanyak empat pusingan, Kategori Bot Laju 30HP (2 piston) ke bawah sebanyak empat pusingan, Kategori Bot Laju 30HP (3 piston) ke bawah sebanyak lima pusingan, Kategori Bot Laju 50HP ke bawah sebanyak tujuh pusingan, Kategori Bot Laju 60HP sebanyak lapan pusingan dan Kategori Bot laju F1/F2 sebanyak 12 pusingan.

Haji Mohd Alirani juga mengingatkan para peserta supaya menghadiri sesi taklimat yang akan diadakan Sabtu ini, 17 September di tempat penurunan bot Kampung Penabai/Kuala Tutong.

Di samping itu, beberapa acara sampingan juga diadakan bagi memeriahkan hari tersebut seperti Perkhidmatan ‘Boat Cruise’ (Menelusuri sungai di Kawasan Kampung Penabai/Kuala Tutong) yang akan beroperasi selepas acara perlumbaan iaitu jam 10:30 pagi hingga jam 1 petang. Orang ramai yang ingin merasai pengalaman ‘Boat Cruise’ akan dikenakan bayaran $3 bagi kanak-kanak dan $5 bagi dewasa.

Antara ahli jawatankuasa yang terlibat dalam acara perlumbaan bot laju yang akan diadakan pada 18 September ini di kawasan Sungai Kampung Penabai/Kuala Tutong, Daerah Tutong.
Antara ahli jawatankuasa yang terlibat dalam acara perlumbaan bot laju yang akan diadakan pada 18 September ini di kawasan Sungai Kampung Penabai/Kuala Tutong, Daerah Tutong.

Selain itu, MPK Penabai/Kuala Tutong juga menyediakan tapak-tapak khas untuk penjaja yang berdaftar.

Menurut Pengerusi Perlumbaan Bot Laju, Haji Yaakub bin Haji Ismail, acara seperti ini diharap akan berjalan dengan lancar kerana ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dan peserta luar negeri.

Beliau selaku wakil urus setia perlumbaan ingin mengucapkan terima kasih kepada para penduduk kampung dan beberapa syarikat di dalam dan luar kampung serta agensi-agensi yang terlibat yang memberikan bantuan, sumbangan tenaga dan buah fikiran bagi menjayakan acara ini.

Beliau juga berharap perlumbaan seperti ini akan diadakan pada tahun yang akan datang dan lebih ramai lagi tampil memberikan sokongan dan sumbangan untuk acara sedemikian pada masa akan datang.

Orang ramai dialu-alukan hadir untuk menyaksikan dan memeriahkan lagi perlumbaan ini pada 18 September dari pagi hingga ke sebelah malam.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menghampiri sungai semasa perlumbaan dijalankan serta disarankan untuk menjaga keselamatan dan mematuhi arahan Pasukan Polis Diraja Brunei yang turut bekerjasama agar perlumbaan berjalan dengan lancar.