Lumba Perahu ...

Lumba Perahu Tradisi serlah jaguh tempatan

Oleh Mohamad Asyramisyanie dan Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Pasukan Lela Cheteria dari Kampung Lurong Dalam, Mukim Burong Pingai Ayer tampil juara di dalam Perlumbaan Perahu (Maraton) antara mukim-mukim, daerah-daerah dan syarikat-syarikat swasta dalam Lumba Perahu Tradisi anjuran Majlis Perundingan Kampung Kota Batu, Pintu Malim dan Sungai Lampai dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara di Dermaga Diraja di ibu negara.

Pasukan itu menjulang piala yang disumbangkan oleh Dewan Peniaga-peniaga Melayu apabila berjaya menewaskan Pasukan Seri Pahlawan dari Mukim Tamoi yang akur di tempat kedua diikuti oleh Pasukan Mukim Saba di tempat ketiga.

Terdahulu Pasukan Seri Pahlawan menewaskan Pasukan Lela Cheteria dalam Lumba Perahu Fibreglass (LPF) 25 Pekayuh 2000 Meter antara Mukim-mukim diikuti oleh Pasukan Mukim Gadong di tempat ketiga. Sementara Pasukan Syarikat RPM Maju pula juara acara LPF 10 Orang Pekayuh Antara Syarikat-syarikat 2000 Meter diikuti oleh Pasukan Syarikat Hajah Rosnani di tempat kedua dan Pasukan Hajah Nayah dan Anak-Anak di tempat ketiga.

Pasukan Daerah Temburong pula tampil juara di dalam acara LPF 15 Orang Pekayuh antara Daerah-daerah 2000 Meter menewaskan Pasukan Daerah Brunei dan Muara di tempat kedua dan Pasukan Daerah Tutong ditempat ketiga.

Sekali lagi Pasukan Seri Pahlawan muncul juara di dalam acara 20 Orang Pekayuh Antara Mukim-mukim 2000 Meter setelah menewaskan pencabar terdekatnya, Pasukan Lela Cheteria yang terpaksa menerima kedudukan di tempat kedua diikuti oleh Pasukan Mukim Saba di tempat ketiga.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyampaikan trofi kepada pemenang Kejohanan Lumba Perahu Tradisi anjuran Majlis Perundingan Kampung Kota Batu, Pintu Malim dan Sungai Lampai dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara di Dermaga Diraja di Bandar Seri Begawan (BSB), kelmarin. – Gambar Syahmi Hassan
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyampaikan trofi kepada pemenang Kejohanan Lumba Perahu Tradisi anjuran Majlis Perundingan Kampung Kota Batu, Pintu Malim dan Sungai Lampai dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara di Dermaga Diraja di Bandar Seri Begawan (BSB), kelmarin. – Gambar Syahmi Hassan
Pasukan Lela Cheteria bergambar ramai bersama piala kemenangan mereka. – Gambar Syahmi Hassan
Pasukan Lela Cheteria bergambar ramai bersama piala kemenangan mereka. – Gambar Syahmi Hassan

Dalam acara LPF 15 Orang Pekayuh antara Mukim-mukim 2000 Meter pula dimenangi oleh Pasukan Mukim Saba diikuti oleh Pasukan Seri Pahlawan di tempat kedua manakala di tempat ketiga adalah Pasukan Mukim Kota Batu.

Syarikat RPM Maju sekali lagi tampil juara dalam acara LPF 10 Orang Pekayuh Antara Syarikat-syarikat Swasta 2000 Meter diikuti oleh Pasukan Syarikat Hajah Rosnani di tempat kedua dan tampil di tempat ketiga adalah Pasukan Syarikat Koperasi Gadong.

Pasukan Daerah Brunei dan Muara pula gah dalam acara LPF 20 Orang Pekayuh Antara Daerah-daerah 2000 Meter apabila pasukan itu menewaskan Pasukan Daerah Temburong dan Pasukan Daerah Belait masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Selain daripada acara lumba perahu tradisi, Perlumbaan Bot Laju juga dianjurkan antaranya adalah Lumba Perahu Pemukat 13 Kaki 15HP 2 Piston Enam Pusingan yang dimenangi oleh Awang Abdul Hanif yang mengemudi Perahu Seri Peliunan 1 diikuti oleh Awang Shahmadi yang mengemudi Perahu Seri Peliunan 5 di tempat kedua dan tampil di tempat ketiga adalah Seri Bukit Family. Awang Zul tampil juara dalam Lumba Perahu Bot Laju 18HP Lapan Pusingan apabila menumpaskan saingan terdekatnya Awang Azim di tempat kedua diikuti oleh Awang Abdul Hanif di tempat ketiga.

Bagi acara Lumba Perahu Pemukat 30HP 2 Piston pula adalah Perahu Raja Kerbau yang dikemudi oleh Awang Rozali yang menewaskan kedua-dua Perahu Champ Racing yang dikemudi oleh Awang Rosli dan Awang Masdi di tempat kedua dan ketiga.

Awang Suhaili daripada Pasukan Beganda Racing pula tampil juara Lumba Bot Laju 30HP 10 Pusingan apabila menumpaskan Awang Mohd Khairul Hadi dari Pasukan Rolex yang berada di tempat kedua dan Awang Kassim Jaffar daripada Pasukan Ferrari Racing di tempat ketiga.

Dua lagi acara yang dipertandingkan adalah Lumba Dua Orang Pekayuh Padian yang dimenangi oleh Pasukan Pekayuh Bungsu diikuti oleh Pasukan Chuchu Pekayuh di tempat kedua manakala di tempat ketiga disandang oleh Pasukan Nini Pekayuh.

Satu lagi perlumbaan Kategori Perahu Padian dimenangi oleh Pasukan Katam Kalok yang dikawal Awang Daim dan Awang Mamat apabila menewaskan gandingan pekayuh Awang Yakob dan Awang Asnal dari Pasukan Harimau Alam di tempat kedua dan Pasukan Musang Berjanggut yang dikawal oleh Awang Mahadi dan Awang Judin pula terpaksa akur di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah di akhir acara hari ini ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

ARTIKEL YANG SAMA