Lun Bawang benam Kilanas FC 3-2

Lun Bawang benam Kilanas FC 3-2

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Pertembungan menarik dua pasukan terbawah Liga Super DST 2015 di Kompleks Sukan Berakas menyaksikan Kilanas FC melepaskan pendahuluan 2-0 sebelum Lun Bawang meledakkan tiga gol dalam tempoh sebelas minit untuk menang 3-2.

Ketika separuh masa pertama dilihat akan berakhir 0-0, Abdul Qohar @ Isa Ibrahim mengejutkan Lun Bawang dengan jaringannya pada minit ke-45 untuk Kilanas FC membawa pendahuluan 1-0 ke separuh masa kedua.

Keadaan menjadi semakin baik buat Kilanas FC mencatat kemenangan keduanya musim ini apabila hanya empat minit bermulanya babak kedua sudah mendahului 2-0 hasil jaringan Brian Lim Yong Song.

Namun segalanya berubah seminit kemudian iaitu pada minit ke-50 apabila Yunus Lupat menjaringkan gol buat Lun Bawang dan kemudiannya sekali lagi membolosi gawang Kilanas FC pada minit ke-56 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Lima minit kemudian Lun Bawang tidak menjangka tuah menyebelahi mereka apabila berjaya menghasilkan gol ketiga yang disumbangkan oleh Amir Bujang. Kedudukan 3-2 ternyata tidak berubah lagi untuk memberikan Lun Bawang tiga mata berharga yang sekali gus mengeluarkannya dari kedudukan bahaya, dua terbawah liga.

Lun Bawang memenangi pertembungan dua pasukan terbawah Liga Super DST 2015 untuk naik ke tangga ke-8 memintas IKLS FC.
Lun Bawang memenangi pertembungan dua pasukan terbawah Liga Super DST 2015 untuk naik ke tangga ke-8 memintas IKLS FC.

Kemenangan itu membolehkan Lun Bawang naik ke tangga kelapan dengan 11 mata dari 15 permainan, dua mata di atas IKLS FC yang baru bermain 14 kali. Sementara Kilanas FC terus tersembam di tangga terbawah liga dengan hanya tiga mata dari 13 permainan. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA