LVG anggap United masih di depan

LVG anggap United masih di depan

LONDON, 11 April (Reuters) – Louis Van Gaal tetap menganggap Manchester United masih ‘di depan’ Tottenham Hotspur walaupun tewas mengejut 3-0 malam tadi, dengan penyokong mereka menggaru kepala penuh kehairanan berikut keputusannya menukar pemain selepas rehat babak pertama.

Pengendali dari Belanda itu yang berada di bawah tekanan, mengeluarkan penyerang muda Marcus Rashford dan membawa masuk pemain sayap Ashley Young sebagai penyerang utama pada babak kedua di White Hart Lane.

United berupaya menandingi Tottenham sebelum berakhir babak pertama walaupun gagal mencipta sebarang peluang keemasan, tetapi segala-galanya tampak tidak menjadi selepas percaturannya mengarahkan Young beraksi di posisi bukan kebiasaannya.

Van Gaal sebenarnya mempunyai pilihan untuk menolak Anthony Martial yang diturunkan di bahagian sayap ke posisi penyerang, dengan Young boleh beraksi sebagai sayap.

Young seakan hilang arah tuju sepanjang babak kedua dan kesempatan itu dimanfaatkan Tottenham yang menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit menerusi Dele Alli, Toby Alderweireld dan Erik Lamela untuk terus membuka peluang mereka meraih gelaran liga dengan United kini berdepan tugasan berat untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

Van Gaal (kanan) semasa menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Tottenham Hotspur semalam. Walaupun ditewaskan oleh Hotspur dengan jaringan 3-0, Gaal tetap menganggap Manchester United masih ‘di depan’ Tottenham Hotspur. – Reuters
Van Gaal (kanan) semasa menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Tottenham Hotspur semalam. Walaupun ditewaskan oleh Hotspur dengan jaringan 3-0, Gaal tetap menganggap Manchester United masih ‘di depan’ Tottenham Hotspur. – Reuters

“Ia adalah perlawanan yang seimbang sebelum mereka menjaringkan gol,” kata Van Gaal yang menyaksikan pasukannya kini menduduki tangga kelima, empat mata ditinggalkan Manchester City sebelum diminta oleh pemberita untuk menjelaskan mengenai pertukaran pemain yang menyebabkan kemarahan penyokong United di sosial media.

“Saya mahu melihat banyak larian daripada bawah kerana saya fikir kami ada peluang melakukannya, ini kerana mereka juga seperti kami yang gemar menyerang dengan barisan pertahanan kerap naik menyerang.

“Ashley Young sebelum ini membuktikan dia boleh beraksi dengan baik di posisi penyerang ketika bersama pasukan simpanan dan Marcus pula melalui perlawanan yang kurang baik dan itu sebab mengapa saya menukarnya.”

Tottenham kini 12 mata di depan United yang mengalami kekalahan pertama di White Hart Lane sejak 2001.

“Saya fikir dari keseimbangan kami masih di depan,” kata bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu dengan nasib nyata tidak memihak kepada mereka sebelum bermula perlawanan lagi apabila bas pasukan mereka tersangkut dalam kesesakan trafik sekali gus memaksa perlawanan ditunda 30 minit.