LVG cuba tutup mulut pengkritik

LVG cuba tutup mulut pengkritik

LONDON, 11 Dis (AFP) – Pemain tengah Manchester United Marouane Fellaini menegaskan Louis van Gaal yang sedang berdepan dengan kecaman bakal menutup mulut pengkritiknya yang semakin lantang dengan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Van Gaal telah diejek penyokong yang tidak berpuas hati semasa seri 0-0 menentang West Ham Sabtu lalu, tetapi insiden itu masih ‘ringan’ jika dibandingkan dengan penghinaan yang dilemparkan kepadanya selepas United tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara Selasa lalu.

Dengan beberapa bekas bintang United termasuk Paul Scholes dan Roy Keane menyertai senarai mereka yang mempersoalkan keupayaan van Gaal selepas tewas 3-2 di Wolfsburg, tekanan semakin memuncak ketika warga Belanda itu bersedia untuk membawa pasukannya ke Bournemouth Sabtu ini.

United belum lagi mengecapi sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan beberapa laporan mendakwa van Gaal sudah kehilangan sokongan skuadnya, dengan beberapa pemain dikatakan tidak kagum dengan keputusannya untuk menggantikan Juan Mata dengan pemain tidak berpengalaman Nick Powell semasa menentang Wolfsburg.

Tetapi Fellaini menegaskan van Gaal masih mendapat sokongan penuh dari bilik persalinan dan, dengan United berada pada tangga keempat, hanya tiga mata di belakang pendahulu Leicester, pemain antarabangsa Belgium itu menjangka akan ada dorongan yang kuat untuk memenangi kejuaraan.

Reaksi Louis van Gaal selepas Manchester United tewas kepada VfL Wolfsburg dalam aksi Liga Juara-Juara di Volkswagen Arena, kelmarin. – Reuters
Reaksi Louis van Gaal selepas Manchester United tewas kepada VfL Wolfsburg dalam aksi Liga Juara-Juara di Volkswagen Arena, kelmarin. – Reuters

“Kami mempercayainya,” Fellaini memberitahu NBC Sports. “Dia pengurus. Itu adalah falsafahnya dan kami perlu terus seperti itu.

“Saya yakin peluang dan jaringan akan tiba. Ya, sudah tentu (kami boleh menang gelaran). Pada masa ini kami berada dalam empat pasukan teratas, kami akan berada di sana.

“Ini adalah bulan yang sukar tetapi kami perlu terus seperti ini. Kami tahu harapan di Manchester United adalah tinggi.”

United bakal menghadapi pasukan keempat tercorot, Bournemouth pada masa yang paling sukar memandangkan pasukan Eddie Howe dijangka lebih bersemangat selepas menang mengejut ke atas Chelsea hujung minggu lalu.

Kekalahan itu mengancam untuk menutup tirai Jose Mourinho buat kali kedua di Chelsea selepas trauma musim di Stamford Bridge.

Tetapi pemain ‘The Special One’ yang sering dilaporkan kecewa dengan pengurus mereka musim ini, memberi respons kepada dakwaan itu bahawa jurulatih mereka diambang pemecatan sebelum menewaskan Porto 2-0 pada Rabu untuk menempah tempat dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu sedikit sebanyak telah membeli ruang kepada Mourinho menarik nafas lega ketika cuba untuk menjulang Chelsea – pada masa ini hanya dua mata di atas zon penyingkiran – kembali bersaing untuk empat pasukan teratas.

Mourinho masih tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan dengan tugasan Chelsea seterusnya adalah perjalanan sukar ke Leicester dan apa yang beliau boleh lakukan dengan penyerang Diego Costa yang semakin tumpul menjadi perhatian ramai pihak.

“Walaupun beberapa perkara tidak berjalan dengan baik, dia tidak harus dipersalahkan,” kata Costa, yang dipanggil semula menentang Porto selepas memanaskan bangku simpanan.

“Apabila empat atau lima pemain tidak bermain dengan baik, keadaan menjadi lebih sukar. Pengurus telah berjuang dan menggalakkan kami untuk bangkit.”

Peningkatan mendadak Leicester ke puncak liga pada musim pertama mereka di bawah bekas pengurus Chelsea, Claudio Ranieri menjadikan mereka lawan yang amat berbahaya untuk kelab barat London itu.

Tetapi Ranieri bimbang Chelsea akan kembali menemui rentak tepat pada waktunya untuk perjalanan ke Stadium King Power Isnin ini.

“Rekod mereka tidak bermakna apa-apa kerana Chelsea adalah Chelsea dan Mourinho adalah Mourinho,” kata Ranieri.

“Saya yakin pada akhir musim mereka akan berada dalam empat pasukan teratas. Saya menghormati mereka kerana saya menyaksikan perlawanan di Porto. Mereka bermain dengan tumpuan yang bagus.”

Arsenal juga layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara terima kasih kepada hatrik Olivier Giroud dalam kemenangan 3-0 di Olympiakos.

Pasukan Arsene Wenger, dua mata di belakang Leicester di tempat kedua, kembali beraksi menentang pasukan tercorot Aston Villa dengan pemain sayap Theo Walcott berkata, kejayaan mereka di Greece adalah petanda baik untuk cabaran gelaran The Gunners musim ini.

“Kami tidak pernah berputus asa dan anda melihat mereka sibuk di bilik persalinan,” kata Walcott. “Itulah semangat yang kami mahukan dalam pasukan ini. Ia adalah semangat yang mampu melonjakkan kami untuk menjadi bertambah baik.”

Pasukan kedudukan ketiga liga, Manchester City pula akan bertandang ke Swansea yang sudah kehilangan pengurus mereka, Garry Monk pada pertengahan minggu ini.

Premier League matchday 15