LVG Enggan Berganjak

LVG Enggan Berganjak

LONDON, 29 Dis – Louis van Gaal menegaskan tidak akan meletak jawatan walaupun Manchester United terus menambah koleksi tanpa kemenangan mereka kepada lapan perlawanan dalam semua kejohanan selepas terikat 0-0 dengan juara bertahan Chelsea, awal pagi tadi.

Penghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris itu mempamerkan peningkatan di Old Trafford selepas ditewaskan Stoke 0-2, Sabtu lalu.

Ditanya media mengenai spekulasi mengenai tugasnya, Van Gaal memberitahu: “Saya tidak boleh mempunyai apa-apa pengaruh ke atas isu ini.

Saya hanya bekerja bersama pemain saya dan kamu melihat sendiri mereka bertarung untuk saya dan memberikan prestasi yang baik.

“Malah selepas perlawanan ini, penyokong juga bertepuk tangan, jadi saya tidak boleh kata yang saya terlalu bimbang tetapi dalam dunia bola sepak, kamu sama sekali tidak akan tahu.

LVG berasa terharu atas sokongan yang diberikan oleh para penyokong Manchester United dalam perlawanan Red Devils menentang Chelsea, kelmarin. – Reuters
LVG berasa terharu atas sokongan yang diberikan oleh para penyokong Manchester United dalam perlawanan Red Devils menentang Chelsea, kelmarin. – Reuters

“Saya mempunyai keyakinan penuh ke atas ahli lembaga dan pemain. Apabila pemain memberi prestasi seperti itu ketika berada dalam tekanan seperti ini, maka tidak ada alasan untuk meletak jawatan.

Mungkin itu yang media mahukan, tetapi saya tidak akan melakukannya.”

Pengendali dari Belanda itu berkata, United sepatutnya dihadiahkan dua sepakan penalti selepas pemain tengah Chelsea Willian memegang bola dan Cesar Azpilicueta mengasari bekas rakan pasukannya Juan Mata di dalam kotak penalti.

“Dua kali sepakan terkena palang ketika penjaga gol sudah tidak boleh berbuat apa-apa, kami mempunyai peluang besar di babak kedua dan dua kes penalti… jadi kami mengharapkan tuah tetapi ia tidak menyebelahi kami,” kata Van Gaal.

“Ketika menentang Stoke saya berkata pada separuh masa pertama kami tidak berani untuk memainkan permainan, namun terdapat perbezaan yang ketara hari ini, kami berani dan kerap menyerang.

“Kami merupakan pasukan yang dominan, kami mencipta peluang, merembat ke gawang dan hanya memberikan tiga peluang kepada pihak lawan. Menentang pasukan seperti Chelsea… ia tidaklah buruk sangat.”

Para penyokong United selama ini telah mengkritik Van Gaal, taktiknya dan pemain-pemain dalam minggu kebelakangan, namun pengurus Belanda itu berasa terharu akan reaksi peminat dalam perlawanan kelmarin.

“Mereka memberikan tepukan kepada para pemain… dan mereka bersemangat,” katanya. “Sudah tentu, kebanyakan peminat kecewa kerana kami perlukan kemenangan. Saya tahu, para pemain juga tahu, semua ahli kakitangan, lembaga pengarah juga mengetahuinya.

“Orang ramai masih menepuk tangan, bukan semua, tapi kebanyakan mereka. Apa yang paling penting ialah para pemain boleh melakukannya hari ini dan kemudian para peminat boleh berpuas hati.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA