LVG harap De Gea kekal

LVG harap De Gea kekal

SANTA CLARA, AS, 26 Julai (AFP) – Pengurus Manchester United Louis van Gaal memuji penjaga gol David De Gea selepas penjaga gawang dari Sepanyol itu kembali daripada kecederaan untuk menghalang Barcelona semalam.

De Gea terlepas dua aksi jelajah pertama United ke AS dengan kecederaan yang mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan perpindahan ke Real Madrid, yang mahu beliau menggantikan Ike Casillas.

Bagaimanapun, De Gea kembali untuk menghadapi Barcelona di Stadium Levis untuk memainkan peranan penting dalam kemenangan aksi persahabatan United 3-1, yang mempamerkan beberapa penyelamat menarik dalam perlawanan itu.

Pada satu ketika dia menafikan percubaan gol pembukaan Sergio Roberto bagi Barcelona selepas hanya lima minit, terbukti penting ketika United menguasai permainan dan menjaringkan gol dua minit kemudian. Van Gaal menyuarakan kekagumannya terhadap keupayaan De Gea yang mengembalikan rentaknya biarpun rehat selepas kecederaan.

“Biarpun kecederaan, tidak berlatih selama seminggu tetapi dia menunjukkan kualiti dalam perlawanan ini. Peluang pertama adalah dari Barcelona dan apabila anda menghentikan peluang pertama anda boleh menjaringkan gol pertama dan ia selalunya berbeza dalam perlawanan itu,” kata van Gaal.

Van Gaal mengakui dia mahu mengekalkan De Gea tetapi berkata keputusan bukanlah ditangannya. “Ya, sudah tentu saya berharap De Gea akan kekal, tetapi dalam dunia bola sepak, anda tidak akan tahu,” katanya.

Van Gaal juga memuji persembahan pasukan kedua United, yang menggantikan kesebelasan utama Red Devils selepas hanya 60 minit. Dia juga mengkiritik kumpulan pemain yang sama selepas persembahan hambar menentang San Jose Earthquake Selasa lalu.

“Saya gembira dengan reaksi pemain muda itu kerana mereka lebih agresif dan itulah apa yang saya mahukan. Mereka adalah pasukan dengan semangat, kami mencipta peluang dan menjaringkan dua gol dengan pemain muda. Jadi saya merasa gembira,” kata van Gaal.