LVG: Kemenangan Pulihkan maruah United

LVG: Kemenangan Pulihkan maruah United

MANCHESTER, 20 Mei (AFP) – Louis van Gaal menyifatkan kemenangan ke atas Crystal Palace pada final Piala FA, esok akan mengembalikan maruah Manchester United selepas mengharungi musim penuh terumbang ambing.

United bergelut untuk membuktikan mereka sebagai pencabar kejuaraan berpotensi di bawah bimbingan Van Gaal malah gagal untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan di tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

Kedudukan Van Gaal goyah berikutan dua musim tanpa sebarang kejayaan membanggakan dan pengurus itu diejek penyokongnya sendiri sekali pun United melakar kemenangan 3-1 pada aksi terakhir liga ke atas Bournemouth di Old Trafford.

Pengendali kelahiran Belanda itu menolak impak kemenangan di Wembley akan menjadi penentu kepada masa depannya namun merasakan inilah masanya United akan menamatkan kemarau tiga tahun tanpa trofi selain kejayaan pertama Piala FA sejak 2004.

“Apabila kamu menang trofi, ia sentiasa penting. Ia penting buat pemain-pemain kerana kelayakan bukannya gelaran. Gelaran ialah Piala FA dan juga kejuaraan,” kata Van Gaal kepada wartawan, semalam.

“Bagi pemain, ia sentiasa amat penting kerana mereka boleh melihatnya dan boleh memegang piala. Ia adalah waktu yang menakjubkan juga, terutama di England kerana Piala FA adalah gelaran yang besar.

“Kami bermain di tempat paling berprestij di England, jadi semua orang mengesahkan betapa penting piala ini.”

Kejayaan trofi terakhir dimenangi United adalah pada 2013 ketika mereka menjuarai EPL di bawah bimbingan Alex Ferguson diikuti Piala Perisai Komuniti bersama David Moyes.