LVG ratapi nasib United

LVG ratapi nasib United

LONDON, 19 Feb (AFP) – Louis Van Gaal tidak mahu dipersalahkan selepas pasukannya tewas lagi tetapi menyalahkan nasib buruk sebagai punca Manchester United tumbang dalam kekalahan memalukan 2-1 menentang kelab Denmark, FC Midtjylland pada aksi Liga Europa, kelmarin.

Pasukan Van Gaal itu dijangka dapat mencatat kemenangan selepas mereka terlebih dulu di hadapan menerusi jaringan Memphis Depay, namun gol daripada Pione Sisto dan Paul Onuachu menambahkan lagi tekanan kepada pasukan terbabit.

Hanya beberapa hari selepas tewas 2-1 di tangan pasukan bergelut dalam liga, Sunderland, pengendalian Van Gaal yang sudah pun mengalami krisis sekali lagi menghadapi pengalaman memalukan pada aksi di MCH Arena itu.

Van Gaal yang kini hanya menunggu untuk dipecat dengan Jose Mourinho dikaitkan untuk menggantikannya, menegaskan situasi buruk yang dihadapi pasukan berpunca daripada krisis kecederaan barisan pemainnya.

Selepas kehilangan kapten Wayne Rooney, United sekali lagi berdepan masalah apabila penjaga gol utamanya, David De Gea terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan lutut ketika sesi memanaskan badan sehingga memaksa Sergio Romero mengambil alih tugas selaku penjaga gawang.

Van Gaal bersama pembantunya Ryan Giggs kelihatan kecewa selepas pasukan mereka tewas kepada FC Midtjylland di MCH Arena, Herning, Denmark kelmarin. – Reuters
Van Gaal bersama pembantunya Ryan Giggs kelihatan kecewa selepas pasukan mereka tewas kepada FC Midtjylland di MCH Arena, Herning, Denmark kelmarin. – Reuters

“Saya beranggapan ia disebabkan Undang-Undang Murphy,” kata Van Gaal kepada BT Sport. “Ketika anda mahu memulakan permainan dan penjaga gol anda berada pada nombor 14 dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan, itu membuatkan anda tidak boleh memulakan permainan seperti biasa.

“Apabila anda sering menurunkan barisan pemain yang berbeza setiap minggu, itu tidak membantu pasukan. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran pemain.”

Van Gaal turut mengakui aksi pemainnya yang longlai dan tidak dapat menandingi usaha keras yang ditunjukkan oleh pasukan tuan rumah itu.

“Pada aksi separuh masa kedua kami tidak memenangi sebarang perebutan bola jadi itu membuatkan kami gagal menambah jaringan.

“Jesse Lingard mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Ada ketikanya kami tidak mengatur gerakan dengan baik.

United masih boleh menutup malu van Gaal dengan kemenangan meyakinkan pada pusingan kedua di Old Trafford Khamis depan, itu pun jika beliau masih diberi kepercayaan.

Ditanya bagaimana beliau menangani tekanan sebelum aksi pusingan kelima Piala FA menentang pasukan divisyen ketiga Shrewsbury Town Isnin depan, beliau berkata: “Ia memang selalu terjadi macam itu, dan tidak bagus.

“Saya fikir kami ada kemungkinan untuk menang permainan ini. Kami masih boleh melakukannya pada pusingan kedua.

“Selalu ada kemungkinan dalam bola sepak. Kami ada peluang untuk menewaskan mereka di laman sendiri dan kami perlu melakukan itu.