LVG rombak skuad United

LVG rombak skuad United

LONDON, 23 Jun (Agensi) – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal (LVG) merancang rombakan besar-besaran, pada musim panas ini dalam usaha menjadikan skuad Reds Devils selaku pencabar kejuaraan sebenar.

Justeru, pengendali kelahiran Belanda itu dikatakan memohon dana 150 juta pound bagi pembelian pemain yang dinilai benar-benar terbukti kelas dunia sedia ada, berbanding pemain hanya berpotensi di masa depan.

Selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tangga keempat dan kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan, Van Gaal sedar peningkatan amat diperlukan United dalam usaha mencabar Chelsea, Manchester City mahupun Arsenal.

Baginya, United memerlukan tulang belakang yang baharu bagi memastikan juara 20 kali itu di kedudukan sebenar – antara elit di EPL dan Liga Juara-Juara.

Bermula daripada penjaga gol, pertahanan tengah, tengah dan jentera serangan, semuanya memerlukan penambahan sekurang-kurangnya empat pemain sebelum kempen bermula, 8 Ogos.

Van Gaal telah memohon dana 150 juta pound untuk merombak skuad Manchester United sebagai usaha menjadikan Red Devils pencabar sebenar kejuaraan. – Reuters
Van Gaal telah memohon dana 150 juta pound untuk merombak skuad Manchester United sebagai usaha menjadikan Red Devils pencabar sebenar kejuaraan. – Reuters

Ketika khabar angin penjaga gol utama, David De Gea yang dijangka menyertai Real Madrid musim panas ini kian panas, Van Gaal pantas melihat beberapa pilihan gantian termasuk penjaga gol Tottenham Hotspur dan Perancis, Hugio Lloris.

Begitupun, penjaga gol Ajax, Jasper Cillessen yang ketika ini menyarung jersi nombor satu Belanda ketika Van Gaal menjadi jurulatih kebangsaan tampil salah seorang calon utama.

Di bahagian pertahanan, pemain Real Madrid, Sergio Ramos yang dijangka meninggalkan kelab itu menjadi pilihan utama Van Gaal.

United dijangka menggunakan De Gea dalam usaha untuk mendapatkan Ramos dengan kedua-dua kelab bakal memperoleh situasi menang-menang.

Di bahagian tengah, Van Gaal berminat mendapatkan pemain Jerman, Bastian Schweinsteiger yang lahir daripada pemain yang beraksi di bahagian sayap kepada perancang yang berjaya di Bayern Munich.

Begitupun, segala-galanya perlu menunggu sehingga 31 Ogos depan dengan melihat sama ada kontrak Schweinsteiger yang ketika ini masih berbaki setahun akan diperbaharui atau sebaliknya.

Bagi menjana jentera serangan, Van Gaal ketika ini memburu seorang lagi pemain Real, Karim Benzema selain penyerang muda Spurs dan England, Harry Kane.