LVG selamat di Old Trafford

LVG selamat di Old Trafford

MANCHESTER, 26 Jan – Louis van Gaal sudah pulang ke England dari bercuti di Belanda untuk mengendalikan latihan pagi ini, sebelum mengadakan perbincangan dengan ahli lembaga kelab Manchester United.

Pengurus Red Devils itu akan diberitahu betapa mereka mahu dia dikekalkan sehingga akhir musim ini, sekali gus mengemudi United untuk pertembungan pusingan keempat Piala FA menentang Derby County, Jumaat ini.

Walaupun penyokong mahu dia segera disingkirkan, United sebolehnya mahu mengelak pemecatan pada pertengahan musim.

Malah, difahamkan Ed Woodward iaitu naib pengerusi eksekutif kelab terbabit berpendapat lebih baik mencari pengganti pada musim panas walaupun berdepan tekanan gara-gara kejatuhan prestasi mereka ketika ini.

Sesi latihan United untuk semalam dan kelmarin dibatalkan selepas Van Gaal pulang ke Belanda untuk menyambut hari jadi anak perempuannya. Dia dijangka pulang ke pusat latihan Carrington pagi ini.

Seorang penyokong United memegang sepanduk merujuk kepada Louis van Gaal dan Jose Mourinho pada 28 Disember 2015. – Reuters
Seorang penyokong United memegang sepanduk merujuk kepada Louis van Gaal dan Jose Mourinho pada 28 Disember 2015. – Reuters

Sportsmail diberitahu bahawa mesyuarat pada tengah hari ini akan menyaksikan Van Gaal diberi jaminan oleh ahli lembaga United yang dia tidak akan dipecat.

Satu lagi perkara yang dijangka dibangkitkan dalam agenda itu adalah mengenai gaya permainannya dan bukan lagi rahsia mereka mahukan perubahan untuk melihat United mengamalkan corak menyerang.

Van Gaal terus berhubung dengan Woodward yang menjadi saksi kekalahan mereka Sabtu lalu dan bercakap dengan pengurusnya selepas itu. Difahamkan mereka bersetuju untuk mengadakan perbincangan mendalam sekembalinya dari Belanda.

Kelab ini dikatakan ‘tidak pasti’ mengenai langkah melantik Ryan Giggs sebagai pengurus sementara dan lebih gemar menyelesaikan pertikaian ini pada akhir musim ini dengan Jose Mourinho juga menyatakan minat untuk membimbing The Red Devils. – Agensi