Lydia Ko juarai LPGA NW Arkansas

Lydia Ko juarai LPGA NW Arkansas

LOS ANGELES, 27 Jun (AFP) – Lydia Ko bangkit daripada penurunan prestasi lewat di lubang terakhir untuk merangkul kemenangan ketiganya musim ini apabila berjaya menjuarai kejohanan Jelajah LPGA NW Arkansas, hari ini.

Pemain remaja kelahiran New Zealand itu kini sudah mengumpul 13 kemenangan dalam Jelajah LPGA sebelum hari lahirnya yang ke-20 apabila menamatkan pusingan terakhir dengan catatan tiga bawah par 196 di lapangan golf Pinnacle Country Club itu.

Morgan Pressel meraih tempat kedua selepas melakukan 71 untuk berkongsi kedudukan dengan pemain Taiwan, Candie Kung dengan keseluruhan 199.

Ko yang juga pemain nombor satu dunia bermain di lubang ke-18 par lima dengan kelebihan empat pukulan namun terpaksa bergelut apabila bolanya memasuki kolam.

Lydia Ko ketika menjulang piala kejohanan tersebut. - AFP
Lydia Ko ketika menjulang piala kejohanan tersebut. – AFP

Selepas melakukan beberapa pukulan selepas itu, dia kemudian berjaya menamatkannya dengan dua pukulan put untuk mencatat kemenangan.

“Ia bukanlah cara yang hebat untuk menamatkannya dengan enam,” kata Ko. “Saya memukul bola dengan baik pada sembilan lubang awal.”

Ko memulakan pusingan terakhir sebagai pendahulu bersama dengan pemain Amerika Syarikat, Pressel namun dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menjarakkan diri dan meraih kelebihan empat pukulan selepas lima lubang.

Sementara itu, pemain nombor dua dunia, Ariya Jutanugarn dari Thailand berkongsi kedudukan ke-44 selepas sekadar melakukan 207.